SEBAHAGIAN murid yang menerima sagu hati pada majlis kecemerlangan UPSR Terengganu 2009 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, 7 Januari lalu.
Oleh Dr Aminudin Mansor
Pemansuhan sesuatu peperiksaan besar yang melibatkan masa depan ramai bilangan murid dan pelajar wajar dikaji dahulu kebaikan dan keburukannya. Ia juga melibatkan dasar dan perubahan dalam sistem pendidikan sesebuah negara. Kajian terperinci oleh pakar-pakar dalam bidang pendidikan, pandangan ibu bapa dan juga pelajar hendaklah diambil kira.
Cadangan Kementerian Pelajaran supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mungkin dimansuhkan kerana sistem pembelajaran kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding memberi pendidikan secara holistik kepada pelajar.
Sistem peperiksaan ini yang diwujudkan kira-kira 25 tahun lalu tentunya mempunyai beberapa kelemahan yang dilihat berorientasikan peperiksaan yang memberikan tekanan kepada dan pelajar, ibu bapa dan juga guru untuk mendapat keputusan cemerlang. Peperiksaan tentunya bertujuan menguji hasil pengajaran dan pembelajaran (P&P) kepada pelajar.
Rasionalnya kepada pelajar jika dimansuhkan, mereka tidak dibebankan dengan sistem pembelajaran berorientasikan peperiksaan. Peperiksaan yang dilakukan sebenarnya tidak banyak membantu dalam kehidupan masa depan pelajar, terutama bidang pekerjaan yang mereka ceburi. Tetapi jika tiada peperiksaan, pelajar tidak akan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah. Jika dimansuhkan bagaimana kita hendak mengetahui kebolehan dan pencapaian pelajar dalam setiap subjek dipelajari?
Bagi guru mereka akan dapat meningkatkan profesionalisme keguruan dan memanfaatkan P&P sepenuhnya tanpa terikat dengan peperiksaan. Guru juga dapat mendidik dan mengajar pelajar meliputi akal, akhlak dan budi pekerti dengan lebih berkesan lagi tanpa menumpukan kepada peperiksaan. Tetapi jika tiada peperiksaan UPSR dan PMR, mampukah penilaian di peringkat sekolah dipertahankan kewibawaannya?
Sementara bagi ibu bapa mereka tidak dibebankan dan menghadap tekanan apabila anak-anak tidak berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR. Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikekalkan sebagai satu-satunya peperiksaan awam di sekolah. Jika tiada UPSR dan PMR tiada lagi kesinambungan peperiksaan di sekolah yang dapat menguji tahap kebolehan pelajar.
Penulis berpandangan, peperiksaan UPSR dan PMR wajar diadakan tetapi formatnya perlu diubah lebih kepada matlamat kehidupan dan kemahiran, tidak terlalu berorientasikan peperiksaan. Adakan kerja kursus, modul, folio dan bagi beberapa pelajaran tertentu yang menjurus kepada cita-cita dan bidang pekerjaan pelajar pada masa depan mengikut minat dan kebolehan mereka. Kerja kursus ini mestilah dilakukan di sekolah melalui pemantauan guru dan tidak perlu dibantu ibu bapa yang kemudiannya dinilai dengan saksama.
Apa yang paling penting pelajar dapat dan benar-benar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) bagi mengelakkan fenomena buta ilmu dalam kalangan pelajar pada masa depan. Kajian terperinci dan mendalam tentang kebaikan dan keburukannya, jika peperiksaan ini dimansuhkan wajar dilakukan sebelum dilaksanakan. Persediaan dari segi mental dan fizikal kepada pelajar mestilah dipersiapkan sebelum sesuatu perubahan dilakukan.
Pandangan dan reaksi orang ramai, terutamanya ibu bapa juga wajar diambil kira. Perubahan ini mestilah dapat memberikan kebaikan dan manfaat masa depan pelajar. Perubahan yang dilakukan mestilah menjurus kepada acuan kita sendiri dan tidak terlalu mengikut pendidikan di Barat. Tujuan utama pendidikan adalah untuk mendidik akal budi, memberikan ilmu dan kemahiran secara kreatif dan kritis kepada pelajar bagi kesejahteraan hidup mereka pada masa depan.
Matlamat pendidikan haruslah diutamakan, iaitu melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu, berilmu beriman, berakhlak mulia, berketerampilan dan sejahtera. Selain itu, menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan dan pembangunan negara serta menyediakan peluang-peluang yang sama bagi semua warga negara Malaysia.
* Penulis ialah bekas pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.
No comments:
Post a Comment