Ini bukan mengenai isu liwat.
Ia berkaitan bagaimana perasaan seseorang pemimpin tertinggi apabila dikecam dan diserang oleh seseorang yang beliau ‘dengan tangannya sendiri’ mengangkat orang itu ke jawatan penting parti dan kedudukan, tiba-tiba ‘menggigit kembali tangannya’.
Nah rasakan, mungkin Allah bayar tunai apa yang pernah pemimpin tertinggi ini lakukan kepada seseorang yang lain sebelum ini. Tidak perlu menunggu selepas mati atau di akhirat!
Terus terang , saya bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Datuk Zaid Ibrahim seperti saya bersimpati dengan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Anwar menentang dan memburuk-burukkannya.
Anwar perlu muhasabah diri mengenai apa yang dia lakukan terhadap seorang insan yang banyak berkorban dan melakukan terbaik untuknya – TDr Mahathir Mohamad.
Apa yang Dr Mahathir tidak lakukan untuk menaikkan Anwar. Dalam masa satu dekad sahaja Anwar melonjak daripada seorang yang tidak kaya dan pengaruhnya tidak sebenar mana, menjadi seorang yang dikenali dalam dan luar negara.
Segala-galanya bermula pada 1982 dan pada 1993 di mana Anwar?
Bukankah daripada sebagai Ketua Pemuda UMNO kepada Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri?
Siapa dalam politik Malaysia dan UMNO meningkat begitu cepat? Bukankah Dr Mahathir mencipta sejarah untuk Anwar hingga ke peringkat begitu tinggi?
Soal beliau dipenjara dan terpaksa mengharungi kehidupan sukar selepas itu adalah ‘kesilapan dirinya sendiri’ dan bukan dicorakkan oleh Dr Mahathir.
Mungkin ada yang berkata Dr Mahathir menggunakan Anwar untuk memperkukuhkan kedudukan politikknya.
Persoalan ialah apa kurangnya Anwar? Bukankah ‘pengambilan’ terhadap Zaid itu dibuat selepas Zaid memburuk-burukkan UMNO dan kepimpinan kerajaan, termasuk Dr Mahathir sendiri?
Anwar gunakan Zaid untuk memperbaiki penarafan politiknya di kalangan rakyat Malaysia dan kemuncak ialah dengan begitu mudah dan cepat meletakkan Zaid Ibrahim sebagai calon Parti Keadilan Rakyat bertanding di pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.
Tidakkah ini sesuatu yang menunjukkan Anwar melakukan apa sahaja untuk menaikkan Zaid?
Tetapi kini apa yang Anwar dapat?
Anwar pun kena merenungi dirinya – apa yang Dr Mahathir tidak lakukan untuk naikkan dirinya.
1. Dr Mahathir sanggup membelakangkan kehendak ahli parti khususnya Pemuda UMNO untuk memasukkan Anwar ke dalam UMNO dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM);
2. Dr Mahathir membelakangkan kehendak Datuk Musa Hitam (kini Tun) yang menyokong Datuk Suhaimi Kamaruddin sebagai Ketua Pemuda UMNO;
3. Dr Mahathir meletakkan Anwar sebagai orang penting dalam kerajaan dan UMNO bagi menjayakan Dasar Penerapan Islam Dalam Pentadbiran bagi perkara khusus seperti pembentukan Universiti Islam Antarabangsa serta Perbankan dan Insurans Islam;
4. Dr Mahathir membelakangkan bantahan beberapa pihak dalam UMNO bagi meletakkan Anwar sebagai Naib Presiden UMNO;
5. Dr Mahathir memberikan kedudukan penting kepada Anwar sebagai Menteri Pendidikan;
6. Dr Mahathir mengangkat Anwar sebagai Menteri Kewangan dan kemudian Timbalan Perdana Menteri sementara dalam parti ialah Timbalan Presiden UMNO; dan
7. Memangku jawatan ‘Perdana Menteri’ beberapa ketika sesama Dr Mahathir bercuti di luar negara.
Bagi Anwar pula, beliau melakukan yang termampu untuknya mengangkat Zaid yang berada dalam PKR selama 18 bulan termasuk sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan anggota Biro Politiknya dan dilihat begitu intim dengan Anwar.
Malah akhirnya Zaid mendakwa dirinya sebagai Penyelaras Parti Keadilan yang kemudiannya dinafikan Anwar dan membuktikan apabila sudah tidak sehaluan lagi, segala-galanya ‘dalam kelambu’ pun didedahkan.
Jika Anwar memburukkan Dr Mahathir mengatakan beliau diktator dan sebagainya, Anwar disifatkan oleh Zaid sebagai pemimpin yang gemar menghina orang lain dan menganggap Zaid sebagai ‘orang jahat’, ‘kuda trojan dan ‘sore loser’.
Jika Anwar menggunakan reformasi untuk menunjukkan bantahan kepada Dr Mahathir, Anwar turut menerima celaan daripada penyokong PKR umpamanya apa yang berlaku di beberapa tempat, termasuk di Dataran Shah Alam malam kelmarin, apabila satu kumpulan memintanya dan Azmin Ali ‘berundur’.
Apakah Anwar tidak pernah mendesak Dr Mahathir berundur?
Apa yang berlaku kepada Anwar kini adalah pusingan roda kejadian alam yang menunjukkan betapa balasan tidak semestinya selepas seseorang itu sudah tidak ada lagi di dunia ini tetapi Allah berkuasa segala-galanya.
Anwar mungkin merasakan dia masih kuat dengan bantuan beberapa rakannya yang masih ada dalam PKR tetapi cuba lihat siapa yang masih di kelilinginya?
Yang kuat mungkin Azmin serta Saifuddin Nasution. Di mana rakan-rakannya ketika reformasi dahulu?
Kenapa mereka menjauhkan diri? Kenapa mereka tidak sebulu lagi dengan Anwar?
Jawapannya ada pada Anwar sendiri.
Nawaitu terhadap sesuatu kerja atau perbuatan amat penting untuk keredaan Allah. Jika ia dibuat kerana perasaan dendam dan cuba menjatuhkan orang lain, ia bukanlah suatu kerja yang berkat.
PKR ditubuhkan kononnya untuk keadilan, demokrasi dan mereformasikan masyarakat Malaysia. Namun pada diri Anwar sendiri sama ada sebagai Ketua Umum dan Penasihat PKR apakah dia layak untuk melakukan reformasi bagi dirinya sendiri?
Sesuai dengan Hari Raya Korban ini, adalah baik Anwar bermuhasabah dan melihat semula perjalanan politiknya – yang dipermudah dan yang disukarkan Allah untuknya membuat satu pendirian.
Sama ada perlu dia meneruskan langkah untuk terus memporak-perandakan masyarakat Malaysia, mengaibkan Islam dan wajarkah dia meneruskan ‘langkah ke Putrajaya’ untuk menjadi Perdana Menteri.
Atau dia berkorban dan mengorbankan cita-cita dan nafsu serta ‘dendam kesumat terhadap Dr Mahathir yang tidak berkesudahan ‘ untuk menjadi rakyat biasa yang insaf terhadap segala dosa politik dan peribadinya agar sisa-sisa hidupnya tidak semakin tercemar dengan pertelingkahan berterusan sama ada dengan lawan politik atau bekas kawan politiknya.
Jelas isu Zaid menjadi pengajaran penting buat Anwar untuk menilai siapa dirinya yang sebenar!
1 comment:
Tuduhan yang diberikan kepada Anwar apakah benar atau Fitnah? Politik memang kejam
Post a Comment