Wednesday, August 5, 2009

HASSAN ALI MULA BUKA MULUT

Daripada ParpuKari

Berita mutakhir Utusan-online menyiarkan kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali yang mendesak kerajaan negeri itu menyerahkan portfolio kerajaan tempatan yang disandang Exconya, Ronnie Liu kepada Exco lain atau oleh Menteri Besar sendiri dengan kadar segera.

Alasan yang diberikan Hassan ialah kerana Ronnie Liu telah beberapa kali mencampuri urusan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak sepatutnya.

Bagaikan orang yang baru keluar dari tempat pertapaannya, Hassan yang terkenal sebagai seorang pakar motivasi, meledakkan bom dalam kepimpinan Pakatan Pembangkang Selangor yang terlalu banyak didedahkan kisah-kisah salahguna kuasa oleh para Exconya dari DAP kebelakangan ini.

Barangkali, Hassan dah tak boleh tahan dengan apa yang berlaku. Walaupun beliau sebelum ini kelihatan seperti mahu melarikan diri daripada memberikan sebarang komen mengenai salahlaku dan kegawatan pimpinan kerajaan Selangor, kini kesabarannya telah tidak terbendong lagi.

Kedudukan Hassan sebagai Exco Selangor yang bertanggungjawab dengan portfolio agama tercabar dengan tindakan Ronnie yang mengarahkan pihak berkuasa tempatan Shah Alam memulangkan kembali beer yang diramPAS dari sebuah kedai serbanika, membuatkan beliau terpaksa bersuara.

Lebih meresahkan lagi apabila Kepala Gangster Selangor itu mengeluarkan kenyataan bahawa beer bukanlah minuman keras.

Kenyataan itu memang mencemaskan sesiapa sahaja yang duduk di kerusi Hassan. Kedudukan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS negeri dan menjadi wakil rakyat pun atas tiket Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang menjenamakan Islam sebagai perjuangan parti itu, benar-benar mencabar kradebilitinya sebagai pemimpin Melayu/Islam di negeri berkenaan.

Soalnya, apabila beliau dengan berani mengeluarkan kenyataan sedemikian membayangkan bahawa beliau tidak lagi sealiran dengan Menteri Besar, Khalid Ibrahim dari PKR. Sedangkan MB Selangor itu baru-baru ini ada membuat kenyataan bahawa beliau sedang mengkaji tingkah laku Exconya yang bernama Ronnie Liu itu. Sedang siasat dan minta penjelasan.

Dari segi politik, kenyataan Hassan itu sealiran dengan gesaan Azmin Ali, ADUN Bukit Antarabangsa yang semasa persidangan DUN Selangor baru lalu menggesa MB Selangor itu menukar beberapa portfolio Exco Selangor yang pada pendapatnya tidak sesuai dan tidak berkualiti.

Panaskah kerusi MB yang diduduki oleh Khalid Ibrahim sekarang? Apakah urustadbir kerajaan dan politik Khalid di Selangor yang mula disedari ramai sama seperti Mohd Nizar Jamaluddin di Perak dahulu itu akan menerima nasib serupa?

Apapun kedudukannya, permasalahan di negeri Selangor yang kelihatan bertimpa-timpa sekarang, bergantung kepada penerimaan dan tindakan rakyat negeri itu sendiri. Merekalah yang memilih wakil rakyat untuk negeri Selangor pada PRU 8 Mac 2008.

Sama ada kenyataan terbaru Hassan ini akan membawa sebarang kesan atau tidak, bergantung kepada sejauh mana mantap dan kukuhnnya sokongan DAP kepada Khalid Ibrahim. Kerana DAP, Khalid membelakangkan rakan-rakan sepemimpinan yang seagama dan sebangsa dengannya.

No comments: