Monday, August 3, 2009

ROSOL GUNAKAN MEDIA UNTUK PERTIKAI KEPIMPINAN MENTERI BESAR


‘Geng 10 tidak akan pernah puas. Mereka gunakan macam-macam cara. Mereka tidak berhenti-henti terus merosakkan parti. Mereka tidak pernah puashati dengan apa yang sudah mereka nikmati selama ini’




Oleh HASSAN MD HUSSEIN (Sandakan) citra_bangsa@yahoo.com

BEKAS Exco Kerajaan Negeri Terengganu dalam era Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar (MB)., Datuk Rosol Wahid menggunakan media massa pro pembangkang untuk mempertikaikan perlantikan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) yang dibuat Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Dalam satu artikel bertajuk ‘Rosol dakwa pegawai APMT tidak ikut syarat SPA’ yang tersiar dalam Siasah Bil 0158 19-25 Julai 2009; ‘Rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno negeri ini terhadap kepimpinan kerajaan negeri semakin terserlah dengan pelbagai pendedahan yang selama ini sering dipertikaikan oleh rakyat.

Penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa termasuk mengambil mereka yang tidak berkelayakan untuk sesuatu jawatan yang mempunyai kepentingan Umno walaupun menggunakan wang kerajaan selalu diperkatakan.

Namun, kemelut yang semakin parah antara kumpulan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan mantannya, Datuk Seri Idris Jusoh, satu persatu luahan terhadap perkara itu didedahkan.

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid mendakwa ada di kalangan pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) tidak mengikut syarat kelayakan akademik dan tangga gaji yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Ini, katanya kerana pihaknya mendapati ada di kalangan pegawai APMT negeri ini yang hanya mempunyai kelulusan darjah enam tetapi dapat menjawat jawatan itu dengan gaji RM2,500 sebulan.

Kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengujudkan APMT bagi menggantikan U-Best yang diadakan oleh kerajaan penggal lalu untuk menjadi penggerak di akar umbi yang menyatukan pengundi-pengundi di tiap-tipa peti undi.

Bagi Rosol, walaupun penjawat APMT yang bertugas di setiap kawasan DUN dilantik oleh Ketua Umno Bahagian, tetapi perlantikan hendaklah berdasarkan taraf kelayakan dan mengikut skala gaji yang ditetapkan SPA.

Bagaimanapun, katanya dalam banyak keadaan garis panduan SPA yang berkehendakkan ketua APMT diisi oleh mereka yang berkelulusan ijazah dan pegawai pula sekurang-kurangnya SPM tidak dipatuhi.

Tambahnya, walaupun jawatan itu diwujudkan atas kepentingan politik tapi gaji serta elaun ketua serta pegawai APMT menggunakan peruntukan kewangan negeri.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri berharap kerajaan negeri lebih tegas dalam urusan melantik pegawai APMT.

Ini, katanya bagi memastikan semua calon yang dipilih memenuhi syarat kelayakan akademik dan tangga gaji yang ditetapkan oleh SPA bagi menjaga kualiti dan tahap profesionalisme penjawat awam di negeri ini.

Sebelum ini, terdapat di kalangan pemimpin Umno sendiri yang mempertikaikan perlantikan bekas guru sekolah rendah sebagai pengarah APMT.

Namun begitu, bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Rosli Mat Hassan menjelaskan bahawa pengarah dari (DUN) Kijal itu berkelulusan ijazah dan menjadi ahli Umno lebih 20 tahun.

Walaupun kenyataan Rosol itu dilihat sebagai suatu pendedahan berani namun ia mungkin berpunca daripada kemelut Umno Bahagian Hulu Terengganu yang semakin parah.

Ini kerana ketua bahagian, Datuk Tengku Putera Tengku Awang menjadi penyelaras DUN Ajil dan mewujudkan pejabat komuniti di DUN tersebut dan pejabat APMT sedangkan Rosol selaku ADUN di Ajil tidak mempunyai peranan.

Bagi Datuk Rosli pula, Tengku Putera memilih untuk melantik dirinya menjadi penyelaras DUN Ajil adalah munasabah kerana Rosol yang tewas dalam pemilihan Timbalan Ketua Bahagian tidak mempunyai jawatan dalam Umno bahagian itu.

Datuk Rosli yang juga Ketua Umno Bahagian Dungun tidak melantik dua ADUN di bahagian Dungun (Paka dan Bukit Besi) kerana kedua-duanya, Zakaria Abdullah dan Din Adam tidak memegang apa-apa jawatan dalam bahagian sebaliknya Datuk Rosli menamakan Ahli Parlimen Dungun menjadi pengerusi penyelaras dan ADUN-ADUN berkenaan sebagai timbalan.’

Hakikatnya, inilah kerja Rosol dan kawan-kawannya dalam Geng 10. Setiap saat, minit, jam, hari, minggu, bulan dan hingga ke tahun, mereka mencungkil dan mencari kesalahan dan kesilapan.

Mereka sebagai ADUN tidak menggunakan medan yang betul untuk bercakap dan menyampaikan cadangan sebaliknya memilih media massa pro pembangkang untuk memalukan kepimpinan Datuk Ahmad Said.

Selagi Datuk Ahmad Said tidak jatuh, mereka akan bekerja dan terus bekerja sehingga mereka nampak yang Datuk Ahmad Said bukan lagi Menteri Besar Terengganu.

Mereka ini bolehlah dianggap sebagai ‘serigala yang mengatakan anggur masam’ kerana tidak dapat memakan anggur itu. Jika mereka berada di kedudukan yang tinggi, orang lain tidak melakukan kerja-kerja yang mereka lakukan sekarang kerana orang lain bukan tidak nampak kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan tetapi orang lain lebih sayangkan parti daripada bercakap perkara-perkara yang merosakkan.

Namun, Geng 10 tidak begitu. Mereka tidak pernah puas. Mereka gunakan macam-macam cara. Mereka tidak berhenti-henti untuk merosakkan parti. Mereka tidak pernah puashati dengan apa yang sudah mereka nikmati selama ini.

Ketika mereka sibuk memburuk-burukkan kepimpinan Datuk Ahmad Said, Menteri Besar ini pula terlalu sibuk bekerja untuk kesejahteraan rakyat Terengganu.

Mulut dan kata-katanya tidak kea rah untuk membidas Geng 10 malahan, sedaya upaya, Datuk Ahmad Said mengharapkan mereka (Geng 10) meletakkan kepentingan Umno mengatasi kepentingan diri mereka sendiri.

Bagi Datuk Ahmad, masa yang ada lebih baik digunakannya untuk membela rakyat susah daripada melayan karenah manusia yang tidak tahu bersyukur. Bagi Menteri Besar masa yang ada mahu beliau gunakan sebaik-baiknya untuk bertemu rakyat dan merasai denyut nadi rakyat.

No comments: