Jawapan lisan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat semalam berhubung lawatan
program PERMATA ke London dipersoalkan.
Ia tidak memuaskan hati Anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching dan
mempertikaikan jawapan berkenaan.
Malah, anggota parlimen DAP itu turut menganggap jawapan
yang diberikan oleh Azalina sebagai 'jawapan sampah' kerana tidak menjawab
soalan.
Apa masalah untuk menjawab soalan yang begitu mudah?
"Soalan saya, saya ingin tahu berapa kos lawatan ke
London, butiran perjalanan dan apakah hasil lawatan Datin Seri Rosmah Mansor
dan dua menteri lain ke London pada 4 hingga 10 Mei.
"Tapi bila saya terima jawapan, saya hairan dengan
jawapan yang diberi Azalina.
"Dia (Azalina) langsung tak sebut berapakah jumlah
yang dipersetujui oleh jemaah menteri.
Ini contoh yang sangat teruk. Ini jawapan yang
"rubbish"," kata Teo pada sidang media di Parlimen semalam.
Dalam soalan bertulis, Teo meminta perdana menteri
menyatakan kos, butiran perjalanan dan hasil lawatan penaung program PERMATA
Datin Seri Rosmah Mansor ke London pada 4 hingga 10 Mei 2017 dengan diiringi
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Azalina.
Jawapan yang diberi Azalina kepada Teo berhubung soalan
itu pula ialah, kos yang terlibat dalam lawatan rasmi Rosmah ke Londonn adalah
seperti mana yang dipersetujui oleh jemaah menteri melalui Memorandum Jemaah
Menteri yang telah dibentangkan pada 26 April 2017 dengan menggunakan
peruntukan sedia ada Jabatan Perdana Menteri.
Dalam jawapan bertulis itu juga, Azalina turut
menyenaraikan lima program semasa lawatan rasmi tersebut serta empat hasil dan
manfaat yang diperolehi daripada lawatan berkenaan.
Sehubungan itu, Teo mempersoalkan anggota parlimen
Pengerang berkenaan kerana tidak memberitahu kos lawatan tetapi mampu memberi
senarai manfaat semasa lawatan berkenaan.
"Kalau Azalina cukup yakin lawatan ke London
memberikan hasil dan manfaat, kenapa tak boleh beritahu rakyat berapa banyak
kos yang telah dibelanjakan?
"Memang semua orang tahu segala perbelanjaan perlu
dilulus oleh jemaah menteri. Soalan saya hanya nak tahu kos. RM1 juta ke? RM2
juta atau setengah juta?
"Soalan mudah pun tak boleh beri jawapan,"
katanya.
Isu lawatan Rosmah ini pada 11 Mei lalu, turut mendapat
perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku dari DAP, Lau Weng
San apabila memohon pejabat perdana menteri untuk menjelaskan kos dan butiran
perjalanan isteri perdana menteri, itu ke London.
"Khususnya antara 4 hingga 7 Mei kerana dua menteri
kabinet yang sepatutnya mengiringi Rosmah dalam lawatan ke London tidak bersama
dengan beliau dalam tempoh empat hari ini.
"Selain itu, tujuan saya menimbulkan soalan ini
adalah kerana media Malaysia dan United Kingdom nampaknya kurang melaporkan
aktiviti-aktiviti beliau selama seminggu di London.
"Maka, ada keperluan untuk pihak perdana menteri
memberi penjelasan yang lebih lanjut terhadap kos perjalanan tersebut,"
kata Lau dalam kenyataannya.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, antara aktiviti
Rosmah di London ialah menyampaikan ucapan serta merasmikan Majlis Nobel Minda
atau Nobelist Mindset.
Selain itu, Rosmah juga menyaksikan majlis menandatangani
dua Surat Hasrat (LOI) iaitu antara PERMATA Pintar dan Cambridge University,
dan PERMATA Insan dengan Oxford Centre for Islamic Studies, University of
Oxford.
Mengulas lanjut, Lau berkata, carian di internet hanya
melaporkan kenyataan Kementerian Luar Negara yang dikeluarkan sehari sebelum
Rosmah bertolak ke London.
"Carian di laman web The Royal Society of London
serta carian di beberapa akhbar dan media UK tidak memberi apa-apa hasil
carian," jelasnya.
Kalau setakat itu sahaja yang boleh dilaporkan media
dalam dan luar negara sepanjang lawatan seminggu itu, tambah Lau, ia sangat
sedikit.
"Seharusnya isteri perdana menteri perlu menghadiri
sekurang-kurangnya satu program rasmi setiap hari dan semestinya perlu ada
laporan atau liputan media hampir setiap hari daripada London berkenaan dengan
lawaran tersebut," ujarnya lagi.
Menjawab persoalan Lau sebelum ini, pembantu Rosmah,
Datuk Rizal Mansor hari ini secara sinis berkata, selaku ADUN, Lau sepatutnya
bertanggungjawab berhubung hal ehwal negeri dan bukan berkaitan Pusat.
"Anda seorang ADUN dan tanggungjawab anda adalah
berkenaan hal ehwal negeri. Soalan-soalan yang anda tanya itu adalah berkaitan
dengan Pusat dan boleh ditanya oleh anggota parlimen di Dewan Rakyat.
"Belajarlah mengenali tugas masing-masing, bukannya
main sondol," kata Rizal.
No comments:
Post a Comment