Kerajaan negeri Kelantan didakwa terlibat dengan operasi
sebuah syarikat yang mengutip wang orang ramai dengan menjual token atau apa
yang didakwa cryptocurrency.
Rakyat berhak untuk mengetahui sama ada langkah Climate
Protector yang beralamat di Berek 12, Kota Bharu menggunakan kelulusan sejuta
ekar Hutan Simpan Kekal (HSK) itu dengan mengutip wang orang ramai dengan
menjual token atau apa yang didakwa cryptocurrency dipersetujui oleh
Kerajaan Kelantan atau tidak.
Melalui status FBnya semalam, Naib Presiden Amanah, Datuk
Husam Musa mendakwa ketika berucap di majlis perjumpaan Aidilfitri, 2 Syawal
(26 Jun), Menteri Besar Kelantan didakwa dengan bangganya sekali lagi bercakap
mengenai projek 'bertaraf dunia' Kelantan - perniagaan karbon menerusi sejuta
ekar HSK diluluskan kepada Climate Protector Sdn Bhd.
Menteri Besar dikatakan menyatakan perkara itu ketika berucap di majlis perjumpaan Aidilfitri, 2 Syawal (26 Jun)
“Sedangkan tiga hari sebelum itu katanya, iaitu pada 23
Jun, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi laman webnya, menyenaraikan Climate
Protector dan sekutunya, EcoBit sebagai beroperasi tanpa kelulusan, “ katanya.
Husam yang juga ADUN Salor menegaskan, kerajaan negeri
Kelantan perlu mendedahkan tindakannya selepas Bank Negara menyenaraikan sebuah
firma yang memeterai perjanjian dengannya untuk melindungi kira-kira 396,000
hektar hutan sebagai syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan.
Husam berkata syarikat, Climate Protector Sdn Bhd, adalah
salah satu dari empat syarikat yang dinamakan oleh Bank Negara menerusi satu
senarai pemerhatian atau amaran kepada pengguna pada 23 Jun.
Senarai syarikat dan laman sesawang berkenaan tidak
diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan
yang ditadbir oleh Bank Negara.
Climate Protector memeterai perjanjian dengan kerajaan
negeri Kelantan pada 9 Jan, 2017. Perjanjian itu meliputi tempoh 30 tahun.
Climate Protector dilaporkan sebagai "syarikat
kredit karbon" pertama di Malaysia yang mendakwa teras perniagaannya
adalah “inisiatif melindungi alam sekitar daripada pemusnahan hutan dan
degradasi (REDD)."
Lima bulan lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar,
Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perjanjian dengan kerajaan negeri
Kelantan itu bercanggah dengan syarat yang ditetapkan
oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Mekanisme ini adalah berasaskan prinsip pembiayaan
bagi jumlah pengurangan pelepasan gas rumah kaca dan tidak melibatkan mekanisme
pasaran," kata Wan Junaidi.
Sehubungan itu, menurutya, semua kerajaan negeri digesa
untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai inisiatif REDD daripada Bahagian
Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di talian 03-88861140 atau melalui
e-mel di aduannre@nre.gov.my bagi memastikan kesahihan maklumat mengenai
inisiatif REDD.
Walaupun demikian, Husam berkata, Menteri Besar Kelantan,
Datuk Ahmad Yaakob, pada 26 Jun tidak memandang berat amaran Bank Negara itu.
Berikutan itu, Husam berkata kerajaan negeri kini perlu
tampil menyatakan tindakan seterusnya selepas Bank Negara mengeluarkan amaran
itu.
Husam turut mengemukakan beberapa persoalan dalam isu
ini:
Pertama, syarikat mengutip wang secara haram menggunakan
kelulusan Kerajaan Negeri?
Kedua, orang ramai mungkin menjadi mangsa kepada skim
penipuan?
Ketiga, syarikat mendapat untung percuma?
"Jika ya, adakah Kerajaan Kelantan turut menjadi
mangsa atau bersubahat?," soal beliau.
Menurutnya selepas pendedahan ini, Kerajaan Kelantan
perlu mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan negeri dan rakyat.
"Kala perlu kerajaan harus membatalkan perjanjian
atau memberitahu orang ramai jangan terpedaya. Bagi rakyat mereka tidak harus
berdiam diri seperti biasa.
"Kalau perlu patut membuat laporan polis, BNM dan
SPRM," katanya.
Apa yang penting katanya, aset HSK Kelantan tidak
tergadai, rakyat tidak mengalami kerugian dan kepentingan negeri dipelihara
secara jujur, amanah, profesional dan cekap.
Husam berkata beliau akan mengadakan sidang media khas di
Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur hari ini (4 Julai 2017, Selasa, jam 11.00
pagi) mengenai perkara itu.
Sumber - Malaysiakini & Malaysia Dateline
No comments:
Post a Comment