Thursday, June 29, 2017

Jangan Retorik - Apa 'Selling Point' AMANAH Untuk Yakinkan Pengundi?


Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dikatakan bertujuan membawa Islam progresif dengan barisan kepimpinan yang alim dalam bidang atau kepakaran tertentu, wajar sekali menerangkan dasar atau polisi kenegaraannya yang punya identiti Islam yang inklusif.

Bukan ayat dengan perkataan ‘inklusif’ tetapi polisi bersifat (konsep) Islam inklusif.

AMANAH perlu membuktikan ia parti yang mempunyai polisi yang boleh menyatukan rakyat pelbagai bangsa, polisi yang boleh memurnikan ekonomi dan sosial.

Dengan kata lain, ia polisi yang praktikal dan releven.

Berikutan itu AMANAH tidak boleh terus menerus  beretorik serta  memaparkan diri mereka sebagai mangsa politik hubungan mesra antara PAS dan UMNO.

Jika setahun atau enam bulan lalu, mungkin retorik ini masih laku dijual. Tetapi sekarang dan pada masa hadapan, tidak boleh lagi.

Hentikan retorik bahawa AMANAH sebagai mangsa PAS demi memujuk sokongan rakyat.

Dalam isi suratnya kepada AMANAH, Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor Mahadzir Ibrahim  berkata. beliau  belum mendengar  butiran itu dinyatakan secara jelas dan konsisten.

“Bagi saya ini penting dalam proses membina atau membentuk imaginasi penyokong dalam memposisikan parti mereka jauh daripada politik intrik PAS.
.
Polisi ini tidak harus menjadi kitab yang sukar dibaca atau diterjemahkan kepada rakyat. Jangan harap rakyat mahu membaca apa yang anda tulis atau menyelidik buku-buku ilmiah anda,” kata beliau seperti di petik Malaysiakini semalam.

Menurutnya, polisi itu  harus menjadi zikir di setiap bibir pemimpin AMANAH dalam menghadapi kritikan mahupun membuat kritikan terhadap masalah negara, setiap masa.

Jika polisi-polisi ini sudah ada, ia perlu diterangkan secara lebih berkesan.

Surat Ahli DAP Untuk AMANAH

(Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor )


Parti Amanah Negara (AMANAH) ditubuhkan pada September 2015. Sejarah bagaimana ia tertubuh, semua yang mengikuti perkembangan politik sudah tahu. Tak perlu saya catatkan lagi.

Kita dapat lihat bagaimana sukarnya sesebuah parti mahu dibentuk. Bukan setakat masalah teknikal sebaliknya yang lebih sukar ialah untuk mengumpul pengaruh dan kekuatan.

Apatah lagi, AMANAH bukan diketuai oleh tokoh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bukan soal Abang Mat Sabu tak popular, tetapi keterampilannya berbanding bekas PM dan TPM tidak ada padanya. Namun, dalam politik, itu bukan syarat mandatori untuk sesebuah parti itu berjaya.

Namun, sedikit sebanyak ia penting bagi mewujudkan faktor yang boleh menarik perhatian dan sokongan orang ramai untuk menyertai AMANAH.

Justeru, pada aspek ini AMANAH tidak perlu bersaing atau dibandingkan dengan parti seperti PKR (dengan ketokohan Anwar) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan ketokohan Dr Mahathir atau Muhyiddin.


Maka, aspek apa yang sesuai bagi AMANAH untuk menapak kukuh dalam persaingan politik hari ini?

Apa perlunya hal ini dipersoalkan? Bukankah ini hal AMANAH? Kenapa saya sebagai ahli DAP menyibuk?

Hari ini AMANAH sudah tidak boleh memaparkan diri mereka sebagai mangsa politik hubungan mesra antara PAS dan UMNO. Jika setahun atau enam bulan lalu, mungkin retorik ini masih laku dijual. Tetapi sekarang dan pada masa hadapan, tidak boleh lagi.

Bergantung wala' dan retorik

Contoh terbaik, Anwar. Lebih 10 tahun imej Anwar sebagai mangsa kekejaman BN laku dijual atau berjaya mengolah sokongan rakyat. Tetapi hari ini, generasi yang lahir pada era 1990-an yang kini sudah layak mengundi, tidak dapat membeli imej tersebut.

Dr Mahathir bersama pembangkang pada hari ini, bukan kerana imej Anwar Ibrahim sebagai mangsa politiknya, tetapi sebab masalah korupsi kerajaan UMNO Najib Razak. Ini relevennya.

Maka, aspek ini juga tidak boleh lagi digunakan oleh parti AMANAH. Lupakan. Hentikan retorik anda sebagai mangsa PAS demi memujuk sokongan rakyat.

Justeru apa lagi yang boleh diprojekkan untuk menarik sokongan buat AMANAH?

Dari gaya (trend) politik PAS hari ini, parti mereka hanya bergantung dengan wala’ ahli-ahlinya dan juga retorik Islam yang mesra regim kleptokrasi atau ringkasnya Islam Kleptokrasi ala PAS.

Bagi saya inilah kelemahan PAS yang boleh menjadi kekuatan bagi AMANAH jika dapat dirumuskan dengan lebih cermat.


Saya belum mendengar konsep politik AMANAH yang dikatakan Islamnya lebih progresif berbanding PAS. Saya tidak mengambil hujah-hujah di ceramahnya kerana ceramah lebih bersifat retorik. Sesiapa pun boleh beretorik jika hari-hari berlatih depan cermin.

AMANAH yang dikatakan membawa Islam progresif dengan barisan kepimpinan yang alim dalam bidang atau kepakaran tertentu, wajar sekali menerangkan dasar atau polisi kenegaraannya yang punya identiti Islam yang inklusif.

Bukan ayat dengan perkataan ‘inklusif’ tetapi polisi bersifat (konsep) Islam inklusif.

Mengapa AMANAH penting

Polisi yang boleh menyatukan rakyat pelbagai bangsa, polisi yang boleh memurnikan ekonomi dan sosial. Polisi yang praktikal dan releven.

Saya belum dengar butiran ini dinyatakan secara jelas dan konsisten. Bagi saya ini penting dalam proses membina atau membentuk imaginasi penyokong dalam memposisikan parti mereka jauh daripada politik intrik PAS.

Polisi ini tidak harus menjadi kitab yang sukar dibaca atau diterjemahkan kepada rakyat. Jangan harap rakyat mahu membaca apa yang anda tulis atau menyelidik buku-buku ilmiah anda.

Sebaliknya polisi ini harus menjadi zikir di setiap bibir pemimpin AMANAH dalam menghadapi kritikan mahupun membuat kritikan terhadap masalah negara, setiap masa.

Jika polisi-polisi ini sudah ada, ia perlu diterangkan secara lebih berkesan.

Saya tidak tahu atau tidak mampu menjawab pertanyaan rakan-rakan, mengapa kita perlu berkawan dengan AMANAH dan mengapa ia penting.

Selain daripada jawapan dan hujah saya bahawa AMANAH menolak UMNO, GST dan regim kleptokrasi Najib, saya tidak mampu memberikan jawapan yang lebih jelas dan apakah selling point untuk meyakinkan pengundi atas pagar di kalangan orang Cina dan Melayu agar menyokong AMANAH kuat-kuat.

Balik kepada soalan tadi - ini adalah hal parti AMANAH dan kenapa saya sebagai ahli DAP nak menyibuk?

Naratif ini telah menjawab, mengapa saya "menyibuk" tentang hal parti AMANAH.

Dalam konteks Pakatan Harapan (PH) secara holistiknya, DAP, PKR atau PPBM memerlukan wakil AMANAH yang kuat dan cukup untuk membentuk kerajaan baru. Tanpa kekuatan yang cukup, perimbangan politik dalam PH akan terganggu.

Maka, dasar-dasar parti AMANAH yang jelas dengan identiti politik yang jitu, sangat-sangat diperlukan ketika ini. Bukan untuk PH sahaja, sebaliknya untuk AMANAH sendiri, malah semestinya untuk para pengundi.

Tidak semua pengundi akan memangkah HARAPAN kerana kebencian mereka kepada Najib Razak dan UMNO, sebaliknya saya yakin, lebih ramai daripada mereka mengundi kerana suka dan yakin dengan dasar dan identiti serta matlamat parti politik itu.

Pandangan saya tidak penting, yang  penting identiti politik AMANAH harus lebih jelas.

No comments: