Kerajaan Sarawak mengingatkan Putrajaya supaya hasil
kutipan cukai pelancongan tidak dilencongkan untuk perkara lain, seperti
membayar hutang.
Pendapatan daripadanya perlu disalurkan terus ke kantung
kerajaan negeri.
“Kami mahu bahagian cukai pelancongan ini disalurkan
terus ke kerajaan negeri dan bukannya disalurkan ke agensi atau pihak lain.
“Selagi hasil dari kutipan cukai itu tidak digunakan
untuk kegunaan lain seperti membayar hutang, maka baguslah,” katanya Menteri
Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim
Hamzah.
Menurut portal The Borneo Post, Abdul Karim menyifatkan
pendirian itu sebagai “menang-menang” selepas Kabinet negeri semalam tiada pilihan melainkan menerima pelaksanaan
cukai itu.
Menurut Abdul Karim, pendirian itu dinyatakan kepada kerajaan
persekutuan dalam mesyuarat antara Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg dan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Dalam pertemuan itu, perdana menteri memberi jaminan dana
dari hasil kutipan cukai pelancongan akan diagihkan antara Semenanjung
Malaysia, Sabah dan Sarawak.
FMT yang memetik Borneo Post hari ini menyebut, berdasarkan
pertemuan ketua menteri dan perdana menteri, turut dinyatakan warga tempatan
akan dikecualikan dari membayar cukai pelancongan jika mereka menginap di hotel
bertaraf 3 bintang dan ke bawah, termasuk “BnB” dan “homestay”.
Bagaimanapun Abdul Karim tidak yakin cukai itu dapat
dilaksanakan sepenuhnya 1 Julai depan memandangkan pelaksanaannya masih perlu
diperhalusi.
“Bermula hari ini, hanya tinggal seminggu sahaja lagi
sebelum bermula bulan Julai. Untuk melaksanakan cukai itu mungkin tidak
praktikal,” katanya.
No comments:
Post a Comment