Thursday, June 11, 2009

AHMAD SAID ANAKTIRIKAN BESUT?

Bahagian Pertama

Menurut sebuah penulisan bertajuk ‘Merungkai Sejarah Daerah Besut’ dalam sebuah blog, daerah Besut, sering dianak tirikan oleh kepimpinan Kerajaan Terengganu seperti si zaman Datuk Seri Amar Diraja, Wan Mokhtar dan kini zaman Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pula.

Selain itu, kerabat diraja juga dikatakan membenci orang Besut.
Penulisan berkenaan yang cuba mengimbas kembali kenapa Besut selalu dianaktirikan oleh kerajaan Terengganu terhenti seketika pada zaman Datuk Seri Idris Jusoh menjadi MB Terengganu.
Sekali lagi kini Besut mengalami nasib yang sama di era Ahmad Said.

Menurut blog berkenaan “itulah hakikatnya dari dulu sampai sekarang mereka termasuk kerabat diraja membenci orang Besut dan mungkin Bumbung Stadium Sultan Mizan Runtuh kerana Allah tuhan seru sekian alam tidak merestui apa yang mereka telah lakukan terhadap orang Besut.
Benarkah dakwaan ini?Sebelum saya menurunkan pendapat, baca dulu rencana ini:

‘MERUNGKAI SEJARAH DAERAH BESUT’
Besut Lonih (Tuesday, June 9, 2009)
Sejarah merupakan komponen tak kurang pentingnya di dalam hidup kita seharian. Walaupun setinggi mana pun kejayaan kita tetap perlu belajar daripada Sejarah kerana Sejarah mampu mendidik kita lebih berhati-hati di masa hadapan dan boleh diumpamakan sekiranya kita berjalan ke depan, sesekali kita kena menoleh ke belakang.

Artikel penulis kali ini bertujuan untuk merungkai sejarah daerah Besut, sebuah daerah yang berada di dalam naungan negeri Terengganu yang sering dianak tirikan oleh kepimpinan Kerajaan Terengganu seperti Zaman MB DSAD Wan Mokhtar dan kini zaman MB Datuk Ahmad Said, cuba kita imbas kembali kenapa Besut selalu dianaktirikan oleh kerajaan Terengganu.

LATARBELAKANG DAERAH BESUT

Bukti bertulis yang paling awal menyentuh mengenai daerah ini cuma sedikit, catatan MUNSYI ABDULLAH dalam PELAYARAN ABDULLAH KE KELANTAN dan dari buku TUFFATUL NAFIS karangan Raja Ali Haji.

Oleh kerana tidak terdapat bukti-bukti bertulis mengenai sejarah awal Daerah Besut, maka terdapat berbagai-bagai cerita yang menerangkan asal usul BESUT.

Salah satu cerita mengenai asal nama Besut kononnya berpunca dari zaman dahulu dimana dikatakan daerah ini merupakan salah sebuah kawasan dibawah kuasa Kerajaan Siam .

Mengikut salah satu cerita nama Besut timbul dari perkataan BE yang dalam bahasa Siam bermakna DAERAH manakala SUT menggambarkan satu tempat atau kawasan yang paling jauh atau penghujung. Ini mungkin betul berdasarkan faktor betapa jauhnya Bangkok yang merupakan Pusat Pentadbiran Siam dengan daerah ini.

Satu cerita mengenai asal usul nama Besut ialah berdasarkan cerita kononnya kawasan ini dahulunya diperintah oleh seorang raja yang digelar RAJA SANG NYANYA. Beliau adalah ketua lanun yang sangat zalim dan ini menyebabkan tidak ramai orang yang tinggal di kawasan ini. Selepas kematiannya barulah kawasan ini didiami orang dan salah satu kumpulan penduduk terdiri dari orang PANGAN. Kumpulan mereka diketuai oleh seorang yang bernama BESUT jadi dipercayai nama BESUT adalah berasal dari nama ketua orang pangan tersebut.

Kesemua cerita yang mengaitkan asal usul nama daerah ini memang tidak dapat dibuktikan kerana tidak ada bukti yang bertulis. Bukti yang paling awal menyentuh mengenai daerah ini cuma sedikit sebagaimana catatan MUNSYI ABDULLAH dalam PELAYAN ABDULLAH KE KELANTAN dari buku TUHFATUL NAFIS karangan Raja Ali Haji.

Dalam catatan ini ada diceritakan mengenai sekumpulan pedagang dari PATTANI ( Selatan Siam ) telah datang ke BESUT dengan diketuai oleh seorang yang bernama CIK LATIF. Adalah dipercayai Cik Latif berasal dari SUMATERA dan telah biasa berdagang di PATTANI. Dengan menawarkan SEGANTANG MATA KAIL dikatakan Cik Latif berjaya memujuk orang-orang Pangan keluar dari daerah ini ke Hulu Besut. Beliau dan orang-orangnya telah berjaya membina sebuah perkampongan ditebing SUNGAI BESUT yang diberi nama PALEMBANG mungkin mengambil nama sempena nama tempat asal beliau di Sumatera. Palembang merupakan PUSAT PENTADBIRAN yang pertama di BESUT sebelum KG. RAJA.

Bila Cik Latif meninggal dunia, beliau diganti oleh anaknya bernama CIK KAMAT. Semasa pemerintahan Cik Kamat Daerah Besut berada dalama keadaan huru-hara kerana ancaman dari perompak lanun yang bermaharajalela di pulau-pulau yang berada disekitar laut daerah ini. Dalam buku pelayaran PELAYARAN ABDULLAH KE KELANTAN, Abdullah Munsyi ada menceritakan kegiatan lanun-lanun di kawasan ini. Dikatakan lanun-lanun ini diketuai oleh PANGLIMA EBEH dan PANGLIMA GARANG.

Untuk menghadapi ancaman lanun-lanun ini, CIK KAMAT tidak berdaya untuk menentangnya dan beliau telah membuat keputusan meminta bantuan dari TERENGGANU. Permohonan beliau dipersetujui oleh Sultan Terengganu masa itu iaitu SULTAN MANSUR 1, yang dikenali sebagai MARHUM BERJANGGUT. Beliau memerintah Terengganu dari 1726-1793. Sultan Mansur 1 telah menghantar angkatan tentera yang diketuai oleh Putera Baginda iaitu Tengku Kadir.

Tengku Kadir dan tentera dibawah pimpinannya berjaya mengalahkan lanun-lanun tersebut dan memaksa lanun-lanun tersebut berundur ke PULAU PERHENTIAN.

Sebagai penghargaan diatas kejayaan beliau mengalahkan lanun-lanun berkenaan, Tengku Kadir telah diberi kuasa oleh Sultan Terengganu untuk memerintah Besut. Cik Kamat pula dilantik sebagai ORANG BESAR BESUT serta mendapat hak di atas Pulau Rhu.

NEGERI BESUT DI BAWAH NAUNGAN TERENGGANU

Tengku Kadir yang menjadi Raja yang pertama Negeri Besut mengambil langkah untuk memperkuatkan kedudukan dan pemerintahannya yang membina benteng-benteng pertahanan disepanjang Sungai Besut berhampiran dengan KOTA PALEMBANG dan kemudian mendirikan tempat kediaman yang baru di KAMPONG RAJA di bawah pemerintahan Besut terus menjadi aman damai.

SEJARAH DAN PENTADBIRAN BESUT

Tengku Kadir yang mangkat pada 1835, telah digantikan oleh puteranya Tengku Ali. Semasa pemerintahannya telah berlaku peperangan antara Besut dengan Terengganu. Mengikut Tuan Haji Salleh bin Haji Awang dalam buku MENGKAJI SEJARAH TERENGGANU peperangan ini dikenali sebagai PEPERANGAN BESUT.

Kenaikan Tengku Ali telah memulakan pergolakan dalam institusi Beraja di Besut. Semasa pemerintahan beliau sejarah Besut telah menyaksikan pemberontakan beliau terhadap Sultan Omar di Kuala Terengganu. Peristiwa ini berlaku pada 23 Syawal 1292/1876 masihi. Peristiwa ini timbul disebabkan dasar Sultan Omar yang memerintah daerah-daerah secara langsung. Akibat dasar itu, Tengku Ali secara rahsia berusaha mendapat bantuan dari Kelantan untuk menjatuhkan Sultan Omar.

Semasa istiadat melantik Tengku Ahmad sebagai Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Ali tidak hadir dan Sultan Omar telah menghantar rombongan ke Besut dan mendapati Tengku Ali sedang mengumpulkan pasukan bersenjata dari Kelantan untuk menentang Sultan Omar.

Sultan Omar terus menghantar surat bantahan kepada pemerintahan Siam dan SINGORA dan memberi amaran kepada Kelantan supaya kedua-dua kuasa itu tidak campurtangan dalam hal ehwal tanah jajahannya. Sultan Omar menyiapkan 8000 orang tentera duketuai oleh PANGLIMA BESAR ORANG KAYA MEGAT SERI MAHKOTA RAJA ( Wan Ab. Rahman bin Ali ) menyerang Besut melalui laut. Tengku Ali sempat lari ke Kelantan. Selepas peristiwa ini, Besut diwakilkan pemerintahannya kepada Tengku Ngah.

Apabila Tengku Ngah memerintah Besut, berlaku perebutan kuasa antara baginda dengan Tengku Muda. Dalam keadaan genting, Tengku Ngah menyerahkan kuasa kepada adiknya Tengku Chik Haji. Tengku Muda berkuasa di Kampong Lampu manakala Tengku Chik Haji di Kampong Raja. Persengketaan ini amat meruncing dan menyebabkan Sultan Terengganu sendiri datang ke Besut untuk menyelesaikannya.

Sultan Terengganu telah membuat cara penyelesaian yang baik tentang siapa yang berkuasa dimana baginda melantik Tengku Chik Haji sebagai Raja disebabkan kedudukan Kg.Raja di timur matahari naik sedangkan kedudukan Kg.Lampu dibarat matahari jatuh.

Kenaikan Tengku Chik Haji sebagai pemerintah Besut telah menyebabkan Besut mendapat kemajuan. Beliau mempunyai kuasa raja untuk menjatuhkan hukuman kepada orang yang melakukan kesalahan. Hasil yang dipungut tidak lagi menjadi hak mutlak sultan. Beliau juga mengambil berat mengenai Pendidikan Islam dimana, di Kg.Palembang misalnya, pondok-pondok didirikan untuk mengajar agama wakaf-wakaf, balai Polis dan lain-lain didirikan. Istana yang pertama dibina pada 1878 dan masih ada hingga sekarang.

Pemerintahan terakhir dalam dinasti beraja Palembang ialah Tengku Ngah. Beliau seorang pendiam tapi mengambil berat tentang kebajikan penduduk KOTA PALEMBANG dan Kg.Raja. Beliau dapat mengekalkan kemajuan dan keamanan Besut sebagaiman yang diasaskan oleh Tengku Chik Haji. Dikatakan pada waktu itu wakil Sultan di Kuala Terengganu sering datang ke Besut untuk mengutip hasil dari pemerintahan di Besut sebagai perbelanjaan membuat BUNGA EMAS untuk dihantar ke SIAM . Tengku Ngah dikatakan mangkat pada 1899 setelah memerintah Besut selama kira-kira 19 tahun.

Kesimpulanya inilah antara sebab-sebab Besut sekian lama dianaktirikan oleh Kerajaan Terengganu dari dulu sampai sekarang terhenti seketika pada zaman DS Idris Jusoh menjadi MB Terengganu, sekali lagi Besut mengalami nasib yang sama di era Datuk Ahmad Said. Itulah hakikatnya dari dulu sampai sekarang mereka termasuk kerabat diraja membenci orang Besut dan mungkin Bumbung Stadium Sultan Mizan Runtuh kerana Allah tuhan seru sekian alam tidak merestui apa yang mereka telah lakukan terhadap orang Besut.

Jangan lupa ikuti Bahagian Kedua

1 comment:

Bai X said...

mano cerito dongeng kato besut diserahkan pd sultan teganu pasal kaloh belago ayam??