Sunday, June 14, 2009

ZAID - ADA TAK MENAMBAH, TIADA TAK MENGURANG

Oleh Amir Hamzah, Batu Pahat

www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Zaid Ibrahim bukanlah nama besar dalam persada politik tanah air. Penglibatannya dalam politik tidak setinggi mana jika dibandingkan dengan kejayaannya dalam firma perundangan. Pada 1987 beliau menubuhkan Zaid Ibrahim & Co., yang sehingga 2008 adalah firma perundangan terbesar di Malaysia dengan 140 orang peguam.

Zaid juga pengasas serta presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1988. Di dalam politik khususnya UMNO beliau boleh dianggap sebagai 'Ada tak menambah, tak ada pun tak mengurang'.

Pada 15 September 2008 ,Zaid meletak jawatan sebagai Menteri Kehakiman Malaysia kerana tidak dapat menerima penggunaan ISA terhadap pengamal media , orang awam dan ahli politik.

Sejak itu beliau sering berdolak dalik sekalipun sering kelihatan hadir di majlis anjuran Parti Keadilan Rakyat, akhirnya hari ini 13 Jun 2009, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu secara rasmi menyertai parti PKR yang diumumkan oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di kongres khas parti itu di Bangi.

Walaupun umurnya sudah pun menjangkau 58 tahun, beliau hanya menyertai UMNO ketika berumur 49 tahun iaitu pada tahun 2000.

Tahun berikutnya Zaid telah dipilih sebagai Ketua UMNO bahagian Kota Bharu. Beliau juga pernah diberi kepercayaan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan pada tahun 2003. Beliau pernah menjadi ahli parlimen (BN) Kota Bharu dari tahun 2004 - 2008. Dalam sejarah pendeknya di dalam UMNO, beliau bukanlah pemimpin UMNO tulen. Beliau hanya digunakan oleh Pak Lah untuk menyerang Tun Mahathir yang sering mengkritik pentadbirannya.

Apakah sumbangan besar Zaid dalam politik negara ini? Tidak ada, kecuali menimbulkan keputusan yang kontoversi khususnya sebagai alat oleh Pak Lah untuk memalukan Tun Mahathir.

Pada 22 Mac 2008, Zaid Ibrahim, yang baru lima hari dilantik sebagai menteri kabinet bertanggungjawab bagi badan kehakiman, mencadangkan agar kerajaan Malaysia meminta maaf kepada mereka yang dikatakan menjadi mangsa dalam Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 yang membawa kepada pemecatan Tun Salleh Abas dan lima hakim Mahkamah Agung — Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh dan Datuk George Seah.

Beliau mencadangkan supaya dilakukan reformasi dalam bidang kehakiman untuk mengembalikan kembali kebebasan kehakiman yang dilihat sudah tercalar akibat krisis 1988. Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.

Bukankah RM10.5juta itu satu pembaziran setelah pemecatan di zaman Tun Mahathir itu mengikut proses undang-undang. Tun Mahathir sendiri bertanggung jawab atas keputusan yang dipersetujui dan diperkenan oleh DYMM Yang Dipertuan Agong.

Selaku pengasas serta presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1988 memang mempunyai hubungan yang dingin dengan kerajaan khususnya dalam era Tun Mahathir.

Sama ada ianya satu komplot antara beliau dan Pak Lah berkaitan dengan bayaran ex-gratia itu tidak diketahui secara jelas. Yang jelas Pak Lah dan Zaid mempunyai perasaan marah kepada Tun Mahathir dan bayaran ex-gratia itu adalah kemungkinan satu usaha memalukan Tun Mahathir seolah-olah mengungkit perkara lama sedangkan perkara itu sudah selesai.

Kemasukan beliau di dalam kabinet setelah dilantik sebagai senator hanya untuk selesaikan satu perkara dan selepas itu tindak tanduk, kenyataan dan ucapannya sangat bertentangan dengan dasar kerajaan khususnya tentangan beliau terhadap isu ISA.

Pada 15 September 2008 ,Zaid meletak jawatan sebagai Menteri Kehakiman Malaysia kerana tidak dapat menerima penggunaan ISA terhadap pengamal media , orang awam dan ahli politik.

Pada 3 Disember 2008, Zaid Ibrahim dipecat daripada UMNO ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang dan menyalahi peraturan parti. Zaid dilaporkan menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam .

Sebelum itu beliau juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang turut dihadiri anggota Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang. Pemecatan Zaid berdasarkan prinsip dan mematuhi garis panduan parti dan Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara memecatnya.

Beliau juga sangat popular dengan kritikan dan mempertikai konsep ketuanan Melayu. Zaid dikritik oleh ramai pihak kerana beliau sendiri adalah lulusan ITM kini Uitm yang ditubuhkan atas dasar ketuanan Melayu.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, dalam hal ini Zaid tidak ubah seperti cuba membakar jambatan, tidak tahu mengenang jasa dan budi yang pernah membantunya hingga mencapai kejayaan bergelar pemilik firma guaman terbesar di negara ini.

Lebih keras lagi, apabila Bekas Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Senator Datuk Zaid Ibrahim mengenai ketuanan Melayu sebagai keterlaluan. “Zaid perlu bertaubat, jika tidak, Zaid perlu keluar dari rumpun bangsa Melayu,”

Pendek kata, orang yang keluar UMNO selalu dikaitan dengan kekecewaan di dalam parti. Kemungkinan tidak cukup pencalonan sebagai ketua UMNO Bahagian Kota Bahru adalah satu bibit tercetusnya kekecewaannya di dalam UMNO.

Kemasukannya ke PKR menunjukkan belangnya yang sebenar. UMNO harus bersyukur kerana musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan duri dalam daging kepada parti sudah memilih jalannya sendiri dan menjadi musuh yang nyata.

1 comment:

Unknown said...

Tapi tidak dinafikan kemasukan Zaid ke PKR akan melemahkan semangat UMNO dalam pilihanraya Manek Urai bulan depan.