Thursday, May 26, 2016

Di Sebalik ‘Wahyu’ Najib, Ahmad Razif Masih Dihantui 'Rahsia Besar'


"...sekiranya Istana Terengganu tidak merestui ‘wahyu’ itu dan ‘rahsia terbongkar’, Ahmad Razif pastinya terpaksa akur dan mengakui bahawa kedudukannya sebagai Menteri Besar dari ‘Finish Already’ menjadi “I Am Finished Already”!!!

Benarkah tiada lagi isu tukar Menteri besar di Terengganu?

Memang sudah settled atau ‘Finish Already’ (istilah yang digunakan oleh Haji Ahmad Razif Abdul Rahman) ?

Persoalannya, apakah Ahmad Razif sudah mendapatkan jaminan  pihak istana bahawa beliau tidak akan ditukarkan?

Apakah Ahmad Razif hanya mengambil kira ‘kuasa Najib’ dan tidak ‘kuasa istana’?

Kemelut pertukaran menteri besar semakin hangat diperkatakan setelah Istana Terengganu menarik kesemua darjah kebesaran yang diberikan kepada Adun Seberang Takir itu berkuatkuasa 22 April lalu.

Ahmad Razif dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.\

Malam kelmarin, Perdana Menteri dan Ahmad Razif meminta agar isu pertukaran menteri besar  tidak lagi dibangkitkan kerana perkara itu telah dianggap selesai. Dengan kata lain, ia tidak perlu diperkata atau dipertikaikan lagi.


Menteri Besar Terengganu itu membuat kenyataan berdasarkan jaminan Datuk Seri Mohd Najib Razak pada pertemuan dengan barisan kepimpinan dan ahli parti sempena lawatan sehari ke Terengganu Isnin lalu.

Najib mahu supaya dihentikan terus spekulasi siapa ganti menteri besar, malah setiap bahagian perlu jaga bahagian masing-masing pastikan menang, jangan sibuk kawasan orang lain.

Najib sendiri menegaskan bahawa: : "Jangan ingat saya tidak tahu apa-apa yang berlaku di Terengganu.”

Bagaimana dengan penentang-penentang Ahmad Razif, khususnya Datuk Seri Ahmad Said yang pernah membawa usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya beliau meletak jawatan?

Tidakkah mungkin akan ada desakan di masa hadapan sama ada melalui sidang DUN (Ogos dan Disember depan) atau secara terbuka?

Jaminan Najib itu ‘bagai perintah atau wahyu’ yang digunapakai Ahmad Razif tanpa mengambil kita bantahan terhadap sebab-sebab beliau dilucutkan pingat kebesaran?

Apakah jaminan Najib ini akan menyebabkan terdedahnya beberapa perkara lain membabitkan Ahmad Razif khususnya dalam kaitan dengan ‘kemurkaan’ Sultan Terengganu yang menyebabkan pingatnya ditarik balik?

Apakah akan terlondeh ‘rahsia besar’ Ahmad Razif selepas ini?

Menurut blog teganuku, ramai yang mungkin mengetahui ‘rahsia besar’ di sebalik perlucutan pingat Ahmad Razif oleh Sultan Terengganu, namun tiada yang berani mendedahkannya kepada umum.

"Rahsia Besar’ ini akan menentukan masa depan negeri dan rakyat Terengganu yang pastinya jika meletup akan menyebabkan krisis politik yang lebih teruk daripada usul ADUN Kijal meminta Menteri Besar meletakkan jawatan pada persidangan DUN lalu." kata teganuku..

Malah dikhabarkan, ‘rahsia besar’ ini turut diketahui oleh pegawai tinggi kerajaan negeri, namun terpaksa akur dengan kehendak Perdana Menteri.

Hakikatnya, Ahmad Razif masih masih dihantui ‘rahsia besar’ bukan sahaja seperti yang dilaporkan oleh teganuku tetapi Ahmad Saidsendiri mengatakan ‘rahsia besar’ itu ada dalam poketnya.


Ahmad Said menyentuh mengenai sebab beliau menggesa pertukaran menteri besar, memberi amaran: “Jangan salahkan saya, saya telah beri ruang yang cukup, saya sayangkan Terengganu...apa yang dia (Ahmad Razif) buat semua saya tahu. Tunggu masa saya akan dedahkan, saya akan dedahkan perkara yang besar-besar yang pada saya ia merugikan kerajaan negeri dan rakyat.”

Pada pertemuan dengan peimpin UMNO Terengganu, Najib berpesan agar kepimpinan UMNO seluruh akar umbi daripada bawahan hingga peringkat atasan agar memberi sokongan penuh kepada Ahmad Razif sebagai menteri besar untuk menerajui pentadbiran negeri dan UMNO Terengganu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagi Ahmad Razif, khususnya penyokong dan yang sewaktu dengannya, kenyataan Perdana Menteri sebagai Presiden UMNBO sudah memberi pengiktirafan kepadanya. Dengan kata lain, isu di Terengganu (membabitkan pertukaran menteri besar) telah berakhir dan tiada lagi isu-isu ini.

“Sekarang ini, kita moving foward (bergerak ke depan) untuk hadapi PRU-14 tidak lama lagi dan saya minta agar perkara ini tidak lagi dibangkitkan,” kata Ahmad Razif.

Ahmad Razif yang turut menyifatkan perkara itu telah selesai sepenuhnya kini sedang memberi fokus kepada usaha untuk menjalankankan tanggungjawab yang diamanahkan demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

“Finish already...semua sudah berakhir (isu pertukaran menteri besar). Saya hendak buat kerja dan saya akan move foward,” katanya kepada pemberita ketika hadir merasmikan Karnival Myskill Fest & Dapur Terengganu di Quinara Al-Safir Resort, Seberang Takir, di Kuala Nerus,  malam kelmarin.


Jika mengambil kira kenyataan Najib itu, Ahmad Razif akan kekal sehingga tiba PRU-14. Jika ‘wahyu’ itu kekal dan digunapakai oleh istana, maka teguhlah kedudukan Ahmad Razif.

Akan berputih matalah mereka yangberangan-angan dan yang menonjolkan diri kononnya akan menjadi Menteri Besar Terengganu.

Namun sekiranya Istana Terengganu tidak merestui ‘wahyu’ itu dan ‘rahsia terbongkar’, Ahmad Razif pastinya terpaksa akur dan mengakui bahawa kedudukannya sebagai Menteri Besar dari ‘Finish Already’ menjadi “I Am Finished Already”!!!

No comments: