Oleh N Faizal Ghazali
Barangkali memang belum sampai masanya untuk syarikat
pengeluar barangan kecantikan menjadi pemain utama dalam sukan bola sepak di
negara ini.
Bola sepak adalah sukan yang memerlukan ketangkasan,
ketegasan serta aksi keras dengan membabitkan sentuhan kasar fizikal.
Justeru di atas padang kita melihat ada pemain yang
tiba-tiba mengerang kesakitan apabila dibentes, atau lebih serius, terkulai
kakinya kerana patah diterjah lawan.
Di luar padang trend syarikat pengeluar kosmetik kita
adalah seperti berlawan siapa lebih gedik berbanding yang lain.
Mengakui kadang-kadang aksi itu dilakukan hanya sekadar
strategi pemasaran sesebuah jenama, apa yang kita bimbang ialah elemen begitu
terbawa-bawa ke bidang pengurusan persatuan.
Hasilnya, tajaan yang sepatutnya membawa manfaat
"menang-menang" bertukar menjadi ancaman keharmonian, salah faham dan
rasa tidak puas hati mana-mana pihak.
Minggu lalu syarikat Vida Beauty Sdn Bhd dan Persatuan
Bola Sepak Kelantan (Kafa) dilaporkan menghadapi masalah ekoran isu dana
tajaan.
Sebelum liga Malaysia bermula pula hajat syarikat Megah
Perawan mahu menaja kelab PKNS FC hampir menjadi kenyataan sebelum ia
dibatalkan kemudian.
Semalam D'Herbs Holding pula gagal bekerjasama dengan
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menandatangani kontrak bernilai RM30
juta bagi tempoh tiga musim.
Banyak hal boleh menjadi penyebab sesuatu tajaan tidak
berjaya. Antaranya, kekeliruan berhubung peraturan standard bola sepak serta
keperluan lain dalam sukan berkenaan.
Menjual barangan kosmetik tidak sama dengan mengerah
kudrat mencari gol di atas padang.
Walaupun hakikatnya boleh wujud titik pertemuan antara
kedua-dua 'dunia' itu ia tidak semudah yang disangka jika dijalankan tanpa
kajian atau persediaan lengkap.
Contohnya, penaja harus menerima dengan hati terbuka
sekiranya pasukan yang ditaja gagal menyinar seperti diharapkan. Membentuk
pasukan yang baik dan berdaya saing bukan seperti membancuh formula bedak muka
atau mengadun ramuan pengempis perut.
Begitu juga bagi tajaan program hiburan di televisyen.
Jika slot tajaan itu kurang mendapat sambutan penaja tidak boleh menyalahkan
penerbit 100 peratus.
Dnars turut berminat menaja kelab bolasepak tahun depan. |
Tajaan berlangsung apabila ada kontrak ditandatangani. Ia
adalah persetujuan bersama yang dibina atas dasar saling mempercayai serta
hormat menghormati.
Jika ada klausa dilanggar? Tidak mustahil berlaku namun
kredibilitilah yang menjadi taruhannya.
Selain itu di sebalik tajaan sesebuah syarikat, pasti ada
pulangan yang diharapkan. Tajaan untuk pasukan bola sepak bukan seperti derma
daripada si hartawan pemurah dari tanah Arab - misalnya - yang tidak
mengharapkan sebarang balasan.
Pasti ada pulangan yang dimahukan di sebalik tajaan
sesebuah syarikat itu. Dalam hal yang dibincangkan ini, syarikat itu ialah
syarikat pengeluar barangan kosmetik/kecantikan.
Apa yang berlaku di Alor Setar belum kita ketahui
sepenuhnya. Setakat ini KFA hanya menjelaskan mereka tidak dapat menerima
tawaran tajaan D'Herbs tanpa mendedahkan alasan yang mendorong mereka bertindak
begitu.
Di sisi D'Herbs pula belum ada penjelasan diberi.
Khabarnya syarikat itu akan membuat sidang media.
Apa yang akan dibangkitkan adalah sesuatu yang menarik
untuk kita renungkan.
No comments:
Post a Comment