Sunday, May 1, 2016

Ahmad Razif Lupa Mengucapkan Terima Kasih Kepada Sultan Mizan?


Hari ini Ahmad Razif Abdul Rahman  disahkan terus menjadi Menteri Besar. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan terhadap saya serta komitmen yang diberikan oleh beliau dalam menyelesaikan isu yang melanda negeri ini sejak minggu lalu.

"Segala spekulasi serta tanggapan yang dibuat sepanjang minggu lalu telahpun terjawab pada hari ini melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri.” kata Ahmad Razif.

Memang benar pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, namun selain itu apa kata Najib?

Perdana Menteri  mengesahkan hari ini perkara itu diputuskan selepas beliau mengadakan pertemuan sulit dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.


"Semalam saya menghadap Sultan Mizan berhubung isu kedudukan menteri besar Terengganu, dan hasil kesimpulan pertemuan ini, kami mencapai kata sepakat untuk meneruskan Ahmad Raziff sebagai menteri besar.

"Saya harap selepas ini tiada lagi timbul sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau," kata Najib.

Ada perkataan "kata sepakat" dalam pertemuan Najib dan Sultan Mizan.

Apakah jika tiada kata sepakat atau tidak diperkenankan oleh Sultan Mizan, bermakna Ahmad Razif akan dapat meneruskan jawatannya itu?

Mungkin terlalu gembira, Ahmad Razif hanya ingat muka Najib dan lupa ‘perkenan Sultan Terengganu’ itu.

Kenapa Ahmad Razif boleh lupa dan tidak pun menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Terengganu?

Marah, masih dendam atau memang lupa?


Ahmad Razif kena ingat, setiap minggu beliau akan menghadap Tuanku Sultan dan bukan Najib. Malah, banyak perkara terpaksa berdepan dengan istana.

Dengan mupakan jasa Tuanku Sultan begitu sahaja, Ahmad Razif nampaknya meneruskan sikapnya yang sentiasa lupa, seakan berjangkit penyakit lupa dengan Perdana Menteri.

Tidakkah Sultan Terengganu terasa hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh Najib ini.

Kita mampu berdoa agar Sultan Mizan tidak terasa hati dengan kenyataan Ahmad Razif hari ini. Mungkin Rabu ini atau Rabu depan, sebelum Mesyuarat  Exco, Ahmad Razif akan menyatakan terima kasihnya kepada Sultan Mizan secara berdepan.

Bagi Najib, "isu itu telah diselesaikan,". Malah. beliau menganggap pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kedudukan Ahmad Razif selepas semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya ditarik balik berkuatkuasa 22 April lalu.

 "Maka dengan pengumuman ini, saya berharap tiada lagi sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau (Ahmad Razif), saya anggap isu kepimpinan negeri ini selesai," katanya.

Ditanya mengenai pelucutan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, Najib berkata:" itu hak sultan (Sultan Mizan), (saya) tak masuk campur, itu dalam Perlembagaan dan kuasa sultan".

Masa masih panjang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Juga masa masih banyak untuk beberapa acara rasmi dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Untuk tahun ini pada Ogos dan Disember depan.

Ada jaminan daripada Najib atau Putrajaya bahawa Ahmad Razif tidak akan diserang lagi pada sidang DUN akan datang?

Apapun, Ahmad Razif perlu ‘move on’ seperti kata seorangblogger kerana dengan kedudukannya yang sudah terjamin, fokus Ahmad Razif ialah untuk menjamin rakyat dan negeri Terengganu terus maju.

No comments: