Sunday, May 15, 2016

Banjir Kilat: Reputasi Zahid Terjejas Teruk Jika Hanya Cakap Kosong


Minta-minta jangan hanya kenyataan politik. Atau hanya untuk sedapkan hati rakyat.

Kalau mahu siasat, biar ada kertas siasatan. Butiran siasatan dan keputusan juga perlu diumumkan.

Mesti ada hitam putih, sama ada ada pihak lakukan rasuah atau sebaliknya.

Kita mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek-projek di ibu negara.
  

Ini termasuk projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat pada 7 dan 13 Mei lalu.

Bukan sahaja di ibu negara, Kuala Lumpur. Di Putrajaya seminggu sebelum itu, iaitu pada Sabtu 7 Mei, juga berlaku banjir kilat.

Bagaimana pula di Putrajaya, apakah bukan kerana projek pembangunan yang dilaksanakan?.

Teliti apa kata  Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri TengkuAdnan Tengku Mansor:

Siasatan awal Perbadanan Putrajaya (PPj) mendapati banjir berlaku akibat laluan air tersumbat oleh daun yang jatuh ke dalamnya.

Selain itu, kadar curahan air hujan yang terlalu banyak iaitu 180 milimeter berterusan kira-kira sejam ketika kejadian yang dianggap fenomena luar biasa juga mendorong peningkatan air dalam longkang begitu cepat.


"Ini fenomena luar biasa untuk Putrajaya kerana hujan terlalu lebat berserta angin kencang yang turut menerbangkan daun kering masuk ke dalam longkang sehingga menyebabkan laluan air tersumbat.

"Hujan ini faktor semulajadi, kita tak boleh kawal ... walaupun perkara seumpama ini adalah di luar jangkaan sama sekali," katanya.

Tengku Adnan menolak kepesatan pembangunan sebagai faktor berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan  itu.

Sementara di Kuala Lumpur, berikutan hujan lebat selama dua jam 13 Mei lalu, mengakibatkan beberapa kawasan termasuk Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Bangsar, Jalan Pantai Baru dan Jalan Pudu mengalami banjir kilat.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengatakan banjir kilat ini berpunca daripada taburan hujan yang tinggi sebanyak 106.5 milimeter iaitu tiga kali ganda berbanding taburan hujan biasa, yang merupakan taburan hujan tertinggi bagi tahun ini.

DBKL sedang membuat pemeriksaan dan pembersihan keseluruhan sistem saliran di kawasan banjir serta beberapa kawasan lain yang dikenal pasti akan terbabit dengan bencana alam itu.

Selain itu, bilik gerakan bantuan bencana DBKL beroperasi 24 jam bagi memantau dan menyelaras tugas-tugas bantuan bencana banjir.

Rasanya, langkah itu dibuat selepas ‘serangan banjir kilat’ tetapi sebelum itu, apakah apa yang disebut oleh DBKL ini berfungsi?


Timbalan Perdana Menteri berkata pihak berkuasa yang berwajib akan  menjalankan siasatan itu dan menyediakan laporan lengkap mengenainya bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Bencana Alam berkata pihak yang saling menuding jari dalam permasalahan itu juga akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik untuk menangani isu berkenaan.

Amat nyata Dr Ahmad Zahid tahu bahawa ada pihak saling menyalahkan dan kenapa ia berlaku? Apa kepentingan kumpulan-kumpulan berkenaan?

"Yang terbaik ialah menyelesaikan masalah rakyat ini dalam jangka segera,” tegas Timbalan Perdana Menteri.

Ini suatu kenyataan yang kita perlu sokong tetapi jika tinggal kenyataan semata-mata, keyakinan rakyat akan terhakis kepada Dr Ahmad Zahid.

Yang penting, kerajaan perlu memastikan dalam jangka panjang banjir kilat dapat dikawal. Hujan lebat dan banjir kilat sukar dielakkan tetapi langkah mengawalnya perlu ada.

Benar kenyataan Dr Ahmad Zahid bahawa tidak sepatutnya banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur kerana sistem dan infrastrukturnya cukup baik.

Namun kenapa berlaku juga?

Dr Ahmad Zahid turut menimbulkan persoalan kemungkinan ada permasalahan dari segi pengaliran air hujan berlebihan. Beliau berjanji akan membantu kementerian dan jabatan berkenaan untuk selesaikan masalah itu.

Bukan itu sahaja, Dr Ahmad Zahid sewajarnya turut melihat peranan DBKL yang nampaknya tidak mempunyai perancangan khusus mengatasi masalah ini apabila mengatakan akan mengkaji kesesuaian sistem saliran sedia ada.

Malah, selepas ini DBKL akan membuat penambahbaikan bagi mengelak kejadian banjir kilat pada masa depan.

Isu banjir kilat ini berlaku setiap tahun dan setiap kali berlaku DBKL akan memberikan jawapan lebih kurang serupa.

Tidakkah boleh dilihat daripada aspek rasuah terhadap DBKL, malah dalam Kementerian Wilayah Persekutuan sendiri?

Jelas sekali Tengku Adnan seperti tidak tahu apa mahu dibuat atau mempunyai cadangan mengatasi isu ini sma ada di Putrajaya mahupun Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad berkata baru-baru ini bagi membantu warga Kuala Lumpur menghadapi kemungkinan banjir kilat, DBKL akan menempatkan 59 anggota Unit Trafik Jabatan Penguatkuasaan di semua lokasi hotspot banjir di sekitar ibu negara.

Ia bertujuan untuk membantu kawalan lalu lintas dan membuat penutupan serta lencongan jalan sekiranya perlu bagi mengelakkan pengguna jalan raya melalui kawasan banjir.

Apa juga yang mahu dilakukan oleh Perbadanan Putrajaya atau DBKL, Dr Ahmad Zahid perlu menjamin kajian mendapat data dan fakta sebenar.

Soal rasuah sudah disebut dan pastinya kalau tidak ada info atau maklumat awal mengenainya, Timbalan Perdana Menteri tidak akan menyebutnya.

Yang pasti jika Dr Ahmad Zahid bercakap kosong atau siasatan tidak dijalankan dengan rapi, reputasinya akan terjejas teruk, malah mungkin akan menyebabkan orang ramai, khususnya wrga Putrajaya dan Kuala Lumpur tidak lagi akan mempercayainya.

Buktikan dan lakukan apa yang dijanjikan dengan sewajarnya,  Dr Ahmad Zahid!!!

No comments: