Wednesday, November 19, 2008

MAHFUZ SEPATUTNYA BIMBANG NASIB PAS

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar semalam menyeru ahli dan perwakilan Umno memboikot pemilihan jawatan parti itu Mac ini berikutan barah rasuah yang berlaku dalam pencalonan.

Mahfuz buat-buat terkejut dengan pendedahan Pengerusi Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa lebih 900 aduan kes rasuah diterima setakat ini.

Menurut Mahfuz, ini senario paling parah dalam sejarah Umn dan ini yang dilaporkan yang tidak dilaporkan kita tidak tahun berapa banyak lagi, dan ia mungkin melibatkan jutaan wang," katanya ketika mengulas isu rasuah dalam pemilihan Umno yang kini semakin mendapat perhatian media.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga melahirkan kebimbangan dengan senario rasuah yang membarah dalam Umno ini kerana pemimpin yang bakal dipilih adalah kalangan mereka yang menang dengan rasuah.

Amboi-amboi sedapnya mulut Mahfuz.

Jangan jaga tepi kain orang.

Baru sahaja menang sedikit dan kerajaan Pakatan Rakyat dapat memerintah lima negeri – Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan – Mahfuz sudah angkuh.

Lupakah Mahfuz bahawa ketika tidak menjadi wakil rakyat, dia juga pernah terima duit daripada rakan dalam UMNO.

Tidakkah Mahfuz terfikir bahawa menerima wang daripada ‘kawan dari parti lawan’ juga berupa rasuah? Setidak-tidaknya dia tidak mengkritik kawannya itu walaupun tahu kesalahan yang dilakukan.

Biar berapa banyak aduan diterima, selagi Lembaga Disiplin tidak memutuskan siapa bersalah atau sebaliknya jangan cepat menghukum.

Mahfuz pun tahu bahawa rasuah boleh jadi dengan sogokan wang atau janji-janji kuasa atau projek oleh seseorang wakil kepada calon.

Lihat dalam Pas terlebih dahulu. Apakah Pas tidak merasuah rakyat dengan janji-janji yang banyak tidak dapat ditunaikan.

Apakah bukan suatu dosa bagi parti dan pemimpin Pas jika janji tidak dapat ditunaikan?

Kalau pun ada berlaku perbuatan politik wang, ia tidak semua peringkat dan semua pemimpin. Jangan kerana sebilangan kecil pemimpin yang mungkin bermain politik wang, seluruh UMNO mahu dipersalahkan.

Mahfuz jangan pandai membuat serkap jarang yang berbagai mengenai jawatan Timbalan Presiden Umno.

Dengan mendakwa kemungkinan Najib dan Abdullah terpaksa meletakkan calon yang boleh dipercayai iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Mohd Taib kerana tidak percayakan Tan Sri Muhyiddin Yasin adalah tuduhan tidak adil dan serangan peribadi terhadap Muhyiddin.

Bagaimana Mahfuz tahu yang Muhyiddin bukan menjadi pilihan kepada dua pemimpin utama Umno masa kini?

Jangan menjadi pengadu domba jika kita mendabik dada sebagai pemimpin Islam.

Cara melaga-lagakan pemimpin UMNO bukan mendatangkan kebaikan kepada sesiapa.

Pernahkan ada tanda-tanda bahawa Muhyiddin, jika ditakdirkan menjadi orang nombor dua akan menjadi tekanan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak?

Najib memerlukan pembantunya yang kuat untuk menumbangkan parti pembangkang termasuk di Kedah dan empat negeri lain. Oleh kerana perwakilan yang akan menentukan siapa yang mereka mahu, Najib perlu menghormati keputusan parti.

Jadi terpulanglah kepada ketiga-tiga calon itu untuk menonjolkan diri mereka dengan kelebihan yang ada pada diri mereka untuk layak menjadi orang nombor dua kepada Najib.

Dalam konteks ini Mahfuz tidak ada kena mengena, malah pemimpin UMNO tidak hairan dengan beliau kerana dalam parti Pas sendiri pun Mahfuz tidak dapat memenangi jawatan melalui pertandingan.

Ketua Penerangan adalah jawatan anugerah dan Mahfuz sepatutnya ‘cermin diri’ kerana pada kedudukan apa beliau berada sekarang.

Dengan cuba mengadu-domba pemimpin UMNO dan bermain politik murahan, Mahfuz tidak akan terjamin tempatnya dalam kepimpinan Pas.

Malah jika tersilap langkah Mahfuz akan semakin ketinggalan perahu kerana pesaing-pesaingannya lebih bijak dalam membuat ulasan dan analisis mengenai kepimpinan UMNO.

Mereka tidak mengadu-domba sebaliknya cuba melihat lebih jauh dengan kemungkinan-kemungkinan apa akan jadi kepada Pas dan Pakatan Rakyat jika Najib bergandingan dengan Muhyiddin berbanding gandingan Najib-Mohd Ali atau Najib-Muhammad Taib.

Itu sepatutnya difikirkan Mahfuz.

Adalah baik dan lebih penting bagi Mahfuz memikirkan cara mempertahankan Pas memerintah di lima negeri daripada membicarakan rasuah politik dalam UMNO.

No comments: