Saturday, November 15, 2008

UTAMAKAN KEMAMPUAN ORANG MELAYU

Orang Melayu dan Bumiputera lain di Kedah dan mungkin juga di negeri lain perlu sedar dan malu kepada diri sendiri.

Apabila pemimpin MCA Kedah berkata dengan kuota yang ditetapkan sebanyak 30 peratus pun rumah-rumah yang dibina tidak mampu dibeli oleh Melayu dan Bumiputera.
Inikan pula kalau 50 peratus, tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun dari MCA, Dr Leong Yong Kong kelmarin mengingatkan Kerajaan Negeri Kedah bahawa langkah kerajaan negeri mahu memperkenalkan kuota 50 peratus dibimbangi akan menjejaskan industri perumahan dan yang berkaitan dengannya di negeri itu kerana ia akan menjejas teruk ekonomi di negeri itu.

Beliau dilaporkan berkata syarat baru itu akan menyebabkan pemaju swasta tidak berminat untuk melaksanakan projek perumahan baru.

Malah, kata Dr Leong, dengan kuota 30 peratus sekarang pun, pemaju perumahan menghadapi masalah untuk menjual unit yang dibina.

Beliau menyarankan agar kerajaan negeri menjalankan kajian untuk mengetahui mengapa orang Melayu tidak boleh membeli rumah atau rumah kedai yang dibina oleh pemaju perumahan swasta.

Sedikit positif dalam kenyataan Dr Leong ialah kerajaan negeri perlu mencari penyelesaian untuk membantu mereka dan bukannya meningkatkan kuota perumahan tersebut.
Persoalan juga ialah dalam memperkatakan kuota ini, siapakah yang diutamakan, sama ada pemaju atau pembeli?

Persoalan juga ialah, apakah rumah dan rumah kedai itu pada harga yang mampu dibeli atau sengaja di bina rumah mahal dengan tujuan menjual kepada kaum tertentu sahaja atau juga pembeli dari luar negara?

Bagi saya apa yang diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah ikhlas dan berniat baik. Belum ada negeri, termasuk di bawah Barisan Nasional (BN) yang berani melakukan demikian.

Dasar itu diperkenalkan untuk memastikan Bumiputera yang membentuk 80 peratus daripada kira-kira dua juta penduduk Kedah tidak terpinggir daripada memiliki rumah mampu milik.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan kertas putih mengenai dasar itu untuk memberi penjelasan kepada semua pihak.

Kelantan yang sudah diperintah oleh PAS dengan majority penduduk adalah Melayu dan Bumiputera lain pun takut untuk mengumumkan dasar sedemikian.

Oktober lalu, kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah telah meningkatkan kuota tersebut dari 30 peratus kepada 50 peratus, berkuatkuasa 1 September lalu bagi projek perumahan baru di negeri itu.

Azizan dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan meminta syarikat-syarikat kaitan kerajaan supaya membina rumah yang mampu dibeli rakyat Kedah, sekiranya pemaju swasta tidak bersedia berbuat demikian.

Pengumuman menjadi kontroversi dan dikritik pemimpin Cina sama ada dalam BN atau Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP, Teng Chang Kim, dikatakan menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tunggal DAP di Kedah, Lee Guan Aik yang mahu mahu meninggalkan PR dan menjadi pembangkang di Kedah jika Kerajaan Pas Kedah meneruskan dasar itu.
Teng dilaporkan berkata, ahli CEC DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, juga bersetuju jika Lee mahu bertindak demikian.

Azizan sebaliknya berkata tindakan ugut-mengugut itu tidak akan menguntungkan kerajaan PR.

"Kalau di Selangor dan Perak pula Pas ugut untuk keluar (PR), apa mereka akan kata. Saya tidak suka orang ugut saya. Janganlah ugut, biar Kedah selesaikan masalah kita sendiri," katanya.

Malah katanya, terpulang kepada DAP untuk keluar daripada PR di negeri ini jika tidak bersetuju dengan dasar baru pemilikan rumah iaitu kuota Bumiputera dinaikkan daripada 30 kepada 50 peratus di semua projek perumahan.

Beliau juga membidas tindakan pemimpin DAP dari luar Kedah yang campur tangan dalam isu itu sedangkan ia dipersetujui oleh
"Mengapa (pemimpin DAP) Selangor hendak datang sini (masuk campur), ini urusan Kedah dan biarlah kita selesaikan masalah kita... Jangan sibuk hal orang lain," katanya.

Apa yang ditekankan oleh Kerajaan Pas Kedah adalah realiti berasaskan kemampuan sebenar orang Melayu dan Bumiputera lain di negeri itu?

Soal penting di sini ialah keutamaan ialah membina rumah mampu milik bukannya rumah mahal dan rumah kedai yang memang diluar jangkauan orang Melayu dan Bumiputera lain.
Bagi parti-parti bukan Melayu, mereka melihat dalam konteks kepentingan pemaju sedangkan Azizan mahu memperkenalkan dasar ini demi menjamin penduduk Kedah tidak terpinggir daripada memiliki rumah mampu milik.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, semalam berkata kontroversi mengenai kuota perumahan 50 peratus bagi bumiputera di Kedah telah selesai.

"Saya telah membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen semalam dan saya difahamkan bahawa tiada perubahan dalam peratusan kuota perumahan di negeri itu.

"Diharapkan, perkara ini boleh diperjelas dan diselesaikan tanpa memanjangkan lagi kontroversi tersebut" tambahnya dalam satu kenyataan.

Lim juga berkata beliau bersedia untuk menemui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Alor Star berhubung perkara itu.

Yang diharapkan Azizan tidak akan berpatah balik hanya kerana didesak oleh DAP dan parti Cina lain, sedangkan masalah orang Melayu di Kedah untuk membeli rumah berlarutan sekian lama.

Orang Melayu, khususnya ahli UMNO patut menyokong dasar itu!

No comments: