Saturday, October 25, 2008

KIT SIANG BIADAP TERHADAP YDP AGONG



Oleh Syed Imran (Kuda Ranggi)


Perlantikan hakim-hakim bagi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi adalah bidang kuasa dan hak mutlak Yang diPertuan Agong dan tidak seharusnya dipertikai oleh mana-mana pihak.

Perkara ini disebut dengan jelas dan dalam bahasa yang mudah difahami dalam Perlembagaan Perskutuan Malaysia di bawah Perkara 122B.

Oleh itu, agak kurang bijak bagi sesiapa termasuk orang politik terutama wakil rakyat DAP ataupun Majlis Peguam untuk mempersoalkan perlantikan Ketua Hakim Negara yang baru, Tan Sri Zaki Tun Azmi. Sama ada kita suka, setuju atau tidak dengan perlantikan itu, kita kena menerima dan menghormati kebijaksanaan Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang diPertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Sebelum memberi nasihatnya di bawah Fasal (1) dalam Perkara 122B tentang perlantikan seseorang hakim, lain daripada Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Perdana Menteri hendaklah meminta fikiran Ketua Hakim Negara. Oleh itu, perlantikan Tan Sri Zaki dibuat setelah Perdana Menteri berunding dengan Ketua Hakim Negara yang akan bersara Tun Abdul Hamid. dalam erti kata lain, perlantikan Tan Sri Zaki dibuat mengikut semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Dewan Rakyat (DAP) YB Lim Kit Siang nampaknya sedang mempertikai perlantikan Tan Sri Zaki dengan cuba menggunakan Perkara 127 dalam Perlembagaan Persekutuan dan meminta semua wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) menyokongnya.

Perkara 127 memperinci persoalan berkaitan sekatan mengenai perbincangan Parlimen tentang kelakuan hakim., iaitu:-

"Kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen kecuali dengan suatu usul yang tersendiri dan notis mengenainya telah diberi oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu, dan juga tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Dewan Negeri."

Kita tidak mempersoalkan hak YB Kit Siang untuk mengemukakan usul berkenaan tetapi adakah ianya perlu dan tidakkah ia, secara langsung, mempertikai kebijaksanaan dan bidang kuasa Yang diPertuan Agong?

Yang diPertuan Agong membuat perlantikan itu mengikut apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan ianya mesti dihormati dan dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia. Kebijaksanaan Majlis Raja-Raja tidak seharusnya dipertikai kerana pada masa lepas, Majlis Raja-Raja pernah tidak bersetuju dan menolak calon yang dikemukakan oleh Perdana Menteri.

Majlis Raja-Raja menggunakan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan tidak hanya meluluskan sesuatu cadangan perlantikan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri.

Kita akui bahawa perlantikan hakim mungkin mempunyai kepentingan politik tetapi itu adalah hak Perdana Menteri dan terpulanglah kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan muktamat dan ianya mesti dihormati dan diterima oleh rakyat.

No comments: