Friday, October 17, 2008

SETIAUSAHA POLITIK MB PERAK SALAH GUNA KUASA?

Dua laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dibuat terhadap Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Misbahul Munir Masduki atas dakwaan salah guna kuasa.

Laporan pertama dibuat oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik Zainol Padzi Paharuddin di ibu pejabat BPR Perak di Ipoh, manakala laporan kedua dibuat oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik dan Labu Kubong, Suib Sulaiman di pejabat BPR di Teluk Intan.

Zainol Padzi yang juga Ketua Pemuda Umno Perak dalam laporannya mendakwa Misbahul Munir mengeluarkan surat arahan meminta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyerahkan kerja menyenggara sungai, parit dan tali air kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) secara runding terus.

Sebelum ini semua kerja berkenaan diserahkan kepada PPK yang kemudiannya membuka tawaran tender kepada kontraktor di kawasan masing-masing, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

“Dengan arahan menyerahkan semua kerja-kerja ini terus kepada JKKK yang dilantik kerajaan negeri seolah-oleh menidakkan bidang tugasan dan keupayaan kontraktor di kawasan tersebut,” katanya.

Zainol Padzi mendakwa surat arahan kepada Pengarah JPS itu bertarikh 16 September lalu manakala surat arahan dari JPS kepada JKKK dikeluarkan bertarikh 6 Okt.

Sementara itu di TELUK INTAN, Suib, 55, dalam laporannya mendakwa Misbahul Munir menyalahguna kuasa dalam pelaksanaan projek pembangunan bernilai RM300,000 di kawasan persawahan Sungai Manik dan Labu Kubong.

Bernama melaporkan, Suib mendakwa Misbahul Munir mengarahkan Pengarah JPS menarik balik kerja menyelenggarakan projek pembangunan sawah Sungai Manik daripada pengerusi JKKK Persekutuan dan diserahkan kepada pengerusi (JKKK) yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Beliau mendakwa sebanyak 36 pengerusi JKKKP telah menerima tawaran kerja bernilai RM300,000 sebelum ini tetapi telah ditarik balik ekoran arahan berkenaan.

Suib yang juga Pengerusi JKKKP Parit 12A Sungai Manik mengesahkan telah menerima surat daripada Pengarah JPS negeri bertarikh 16 September lalu dengan arahan penarikan balik berkuatkuasa 6 Oktober lalu.

"Saya berharap tindakan undang-undang dapat diambil terhadap Setiausaha Politik itu...saya membuat aduan ini kerana mendapati tindakan Setiausaha Politik itu telah menyalahguna kuasa dan bersikap tidak adil," katanya.

No comments: