Tan Sri Khalid Ibrahim, Jangan Jadi Macam Dollah Badawi
Oleh setisab
"Pakatan Rakyat telah membentuk kerajaan negeri Selangor selama lapan bulan sejak Mac 2008 lalu. Heboh satu dunia kalau Pakatan Rakyat dapat memerintah negara, pembasmian kemiskinan tegar, pentadbiran jujur dan telus serta pencegahan amalan rasuah adalah agenda utamanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penuh bersemangat melaungkan “Kita akan angkat maruah rakyat”. “Kita akan angkat martabat rakyat”. “Kita akan angkat ekonomi rakyat”.
Nak tanya sikitlah Datuk Seri, apa yang telah kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor ‘angkat’ setelah lapan bulan memerintah?. Wakil Parlimen dan ADUN Keadilan angkat sumpah untuk terima gaji, alaun keraian, alaun pakaian, alaun hadir mesyuarat, alaun pembantu dan berpuluh alaun lain sebagai wakil rakyat, itu sahaja saya nampak yang terangkat.
Jutaan rakyat Malaysia menaruh harapan dan keyakinan terhadap perjuangan Datuk Seri serta rakan-rakan pimpinan dalam Pakatan Rakyat, Parti KeADILan khususnya.
Rakyat turut berkempen. Rakyat menampal poster. Rakyat berdebat mempertahankan hujah. Rakyat merayu undi bagi pihak calon dan parti. Rakyat berkorban masa dan wang ringgit. Rakyat berarak ke hulu ke hilir memberi penerangan dan sokongan dan akhirnya rakyat telah memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat memerintah beberapa negeri selepas pilihanraya umum ke-12 lalu.
Ucapan tahniah saya hamparkan kepada calon yang telah menang dan bergelar ‘Yang Berhormat’ sekarang.
Apakah yang kami dapat sebagai sebahagian daripada rakyat yang mengundi calon Pakatan Rakyat?. Apakah yang kami dapat banggakan dan nikmati selama lapan bulan ini berada di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor?
Berapa peratuskah perancangan dan janji calon-calon yang sekarang telah menjadi wakil rakyat telah berjaya dilaksanakan? Rakyat ini tahu. Rakyat ingin menilai.
Apabila rakyat bersuara, maka akan keluarlah kata-kata pujangga pembelit minda daripada para pemimpin yang berselindung disebalik keindahan bicara dan retorik kata-kata.
“Jangan tanya apakah sumbangan negara kepada kita, tetapi tanyalah apakah sumbangan kita kepada negara”
Saya tidak bertanya apakah sumbangan negara kepada rakyat, tetapi yang saya ingin tahu apakah sumbangan calon pilihanraya yang telah diangkat menjadi pemimpin oleh rakyat?.
Hello para Wakil Rakyat, Yang Berhormat dan yang minta dihormati.
Sebelum pemimpin dan pembesar negeri dan negara menyumbang apa-apa kepada rakyat dan negara, rakyat telah terlebih dahulu menyumbang jasa bakti mereka kepada para pemimpin dengan menghidupkan amalan membantu kempen dan keluar mengundi.
Pemimpin dicari, undian diberi dan akhirnya ada calon yang memenangi. Tahniah sekali lagi kepada calon yang menang. Tahniah kepada parti yang berjaya menjadi pemerintah. Sekarang adalah masa rakyat menilai dan menuntut janji-janji yang telah kalian dengan yakin dan bersemangat taburi semasa kempen pilihanraya lalu.
Kepada seluruh rakyat Selangor khasnya dan Malaysia amnya, kerajaanrakyat.com memohon jasa baik dengan keluhuran hati dan kewarasan minda kalian, tanpa bias untuk menitipkan segala perkembangan positif yang telah dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sepanjang lapan bulan pemerintahannya.
Dalam masa yang sama kerajaanrakyat.com juga memohon seluruh rakyat Selangor khasnya dan Malaysia amnya agar dapat meluahkan dengan jujur dan ikhlas segala penipuan, kepincangan, ketempangan, kerakusan, pengkhianatan, penyelewengan dan kemungkaran janji yang telah dan sedang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.
Penipuan, kerakusan dan penyelewengan kerajaan UMNO/Barisan Nasional telah banyak kita ketahui dan JANGANLAH kita ikut perangai sewel dan songsang mereka.
Harapan saya agar segala luahan hati rakyat di sini akan menjadi pemangkin semangat dan penggerak tindakan kepada wakil-wakil rakyat yang telah kita amanahkan untuk menjalankan kewajipan mereka sebaik mungkin.
Tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk memilih pemimpin telah kita lakukan. Tanggungjawab kita untuk membahagiakan dan mengharmonikan kehidupan berkeluarga telah dan sedang kita laksanakan. Tanggungjawab kita untuk bekerja mencari nafkah menyara keluarga sedang kita tunaikan. Tanggungjawab kita untuk memastikan keharmonian hidup bermasyarakat sentiasa kita utamakan.
Sekarang adalah masa kita menyemak dan menegur wakil rakyat-wakil rakyat yang telah kita semua pilih untuk mengangkat martabat agama, bangsa, negara dan warisan kita seluruhnya.
Luahkanlah segala ketidakpuasan hati kita terhadap wakil rakyat yang telah kita semua pilih dalam pilihanraya lalu kerana ini adalah hak dan tanggungjawab kita.
Seruan saya kepada ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Selangor khusus, sila beri perhatian kepada www.kerajaanrakyat.com , kerana jika kalian gagal dalam menjalankan amanah yang telah rakyat sandarkan kepada kalian, kami akan bangkit menentang kemungkaran kalian.
Kepada YAB Tan Sri Menteri Besar Selangor, saya harap YAB dilain masa jangan membuat ulasan seperti melepaskan batuk ditangga seperti ini.
“Mengulas mengenai tiga paip utama di Kampung Revolusi Hijau, Dengkil yang pecah pagi semalam akibat kegiatan korek pasir oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab, beliau berkata perkara itu telah diambil tindakan.”
Tan Sri demam ke?. Tan Sri sudah jadi macam Datuk Dollah Badawi ke?. Serah kepada pegawai dan Tan Sri tidur?. Tan Sri tau tak penduduk di Dengkil, Salak Tinggi dan kawasan sekitarnya telah tiga hari tidak mendapat bekalan air?.
Tan Sri kata sudah serah kepada pegawai daerah?. Tolong panggil pegawai daerah tu dan tanya apa tindakan yang dia telah buat. ‘Syabas’ hantar tong kosong, air tiada. Tan Sri tak? Pegawai Daerah makan gaji buta ke?
YB Tuan Yaakob Bin Sapari, kabare Wak? Apa tindakan Wak dalam hal ini?. Sudah selesai atau belum?
YB Ronnie Liu Tian Khiew, ada hantu di PBT Kajang yang mengambil untung atas angin dengan menyewakan tanah kerajaan kepada peniaga kecil dan penguasa taman hiasan dengan menaikkan kadar sewaan sehingga 800 (lapan ratus) peratus.
Ini adalah penindasan yang maha zalim kepada peniaga dan pengusaha kecil. Perkara ini telah berlaku sejak zaman Barisan Nasional, tetapi sekarang zaman kita, jadi kita kena cuci dan bunuh lintah darat ini. Tolong siasat.
Salam Takzim, Salam Perjuangan dan Selamat Berkhidmat.
::: Berita di sini dan di sini.
::: Kepada ALLAH kami berserah.
No comments:
Post a Comment