Sunday, July 19, 2009

ANTARA MISTERI DAN POLITIKING

Awang Selamat (Mingguan Malaysia)
19 Julai 2009

Awang turut bersimpati atas kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian dalam satu kejadian menggemparkan, Khamis lalu.

Mayatnya ditemui di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, dipercayai terjatuh dari tingkat 14 pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di bangunan yang sama.

Insiden itu yang berlaku selepas Beng Hock disoal siasat oleh pegawai SPRM menimbulkan tanda tanya apakah beliau membunuh diri dengan bertindak terjun, terjatuh atau menjadi mangsa sebarang salah laku?

Apa sekalipun puncanya, Awang mengucapkan takziah kepada keluarga Beng Hock, 30. Dalam kita memberikan simpati yang mendalam, Awang harap semua pihak khususnya pembangkang bertenang dan tidak membuat sebarang rumusan awal yang diwarnai sentimen.

Para pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak sudah memberi jaminan polis akan menyiasat kes itu secara profesional dan telus. Pihak polis turut memberi jaminan yang sama.

Anehnya, tindak-tanduk pembangkang khususnya DAP dan PKR dalam isu kematian Beng Hock dilihat keterlaluan. Laman blog pembangkang sudah membuat pelbagai tuduhan liar terhadap SPRM biarpun siasatan baru bermula. DAP dan PKR turut mengatur demonstrasi bagi menyemarakkan sentimen anti kerajaan.

Lalu Awang teringat kekalutan yang berlaku ini kepada kes 'gadis China' yang dipaksa ketuk ketampi dalam keadaan berbogel di lokap polis. Sementara siasatan dijalankan, pemimpin DAP menguar-uarkannya menjadi isu besar sehingga menjejaskan imej negara dan polis.

Malah kerajaan kita ketika itu dilihat tergesa-gesa menghantar menteri meminta maaf kepada kerajaan China. Tetapi apabila siasatan mendapati mangsa ketuk ketampi itu adalah gadis Melayu rakyat tempatan, DAP senyap dan sedikitpun tidak merasa malu.

Kerajaan pula hanya berdiam dan tidak bertindak terhadap kerosakan maruah negara dan polis.
Mesej yang Awang mahu sampaikan, janganlah bertindak melulu selagi kita belum jelas dan pasti hasil siasatan. Apakah SPRM merupakan punca kematian Beng Hock sedangkan mendiang bukan suspek, cuma saksi membantu siasatan dan sudah tentu SPRM memerlukan kerjasamanya lagi ?

Seandainya ada salah laku di peringkat SPRM, Awang yakin ia tidak akan ditutup dan yang bersalah perlu diheret ke mahkamah. Bagaimana pula jika ia adalah kes bunuh diri, yang kita tidak boleh tolak kemungkinan ini? Mungkinkah juga ada pihak ketiga yang terlibat dalam punca kematiannya dan jika benar, siapakah gerangannya?

Apakah ia ada kaitan dengan politikus mahupun pihak lain yang mempunyai hubungan dengan pergerakan politik tertentu? Inilah misteri kematian Beng Hock, yang tidak boleh diselesaikan dengan demonstrasi dan tuduhan liar. Ia hanya boleh ditangani dengan siasatan menyeluruh dan telus.

Tetapi Awang tidak terkejut dengan reaksi keterlaluan parti pembangkang tertentu yang bertujuan mempolitikkan isu tersebut. Sepatutnya mereka menghormati proses siasatan.

Mungkin ini muslihat untuk mengalihkan perhatian kepada isu sebenar iaitu siasatan terhadap beberapa exco pembangkang menyalahgunakan peruntukan kewangan kerajaan negeri dan isu-isu lain yang makin menghimpit parti pembangkang di negara ini.

Awang harap SPRM tidak akan goyah dalam siasatan mereka. Siasat tetap siasat. Dalam kaitan ini, pihak polis diharap memperhebatkan siasatan terhadap aduan polis Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang mendakwa ada kaitan exco kerajaan negeri Selangor dengan kongsi gelap. Ahli Parlimen pembangkang sendiri membuat aduan polis terhadap pembangkang.

Apakah benar dakwaannya itu? Jika benar ia sesuatu yang serius. Sebenarnya semakin banyak isu melingkari pembangkang di Selangor dan juga negeri lain terutama Kedah dan Pulau Pinang.

Tidak sampai 16 bulan, kerajaan campuran pembangkang kelihatan berkecamuk walaupun cuba dinafikan oleh pemimpin atasan. Sebab itu, Awang tidak hairan jika seorang lagi pemimpin pembangkang Selangor, Azmin Ali mengkritik kerajaan negeri Selangor dan mahukan rombakan exco dilakukan segera. Itu belum bercakap tentang kemelut isu Kampung Buah Pala dan isu banglo mewah yang disewa Ketua Menteri di Pulau Pinang, yang hangat diperkatakan sekarang.

Awang tidak terkejut jika kes kematian Beng Hock akan terus dipolitikkan untuk mengelirukan rakyat dan secara tidak langsung bagi menutup banyak kelemahan, kecelaruan dan kepincangan pakatan pembangkang.

Semua tahu, memang strategi pembangkang untuk mencetuskan banyak drama ketegangan politik bagi melonjakkan kembali sokongan rakyat yang semakin merosot terhadap mereka. Bagi pembangkang tertentu, isu Beng Hock diharap sedikit sebanyak meredakan perhatian kepada kes liwat Anwar Ibrahim terhadap pembantunya Saiful Bukhari Azlan yang akan bermula di mahkamah sedikit masa lagi.

Walaupun ada cubaan untuk menangguhkan kes tersebut tetapi ramai teruja untuk mengikutinya kerana difahamkan, pasukan pendakwaan mempunyai bukti yang lebih kukuh kali ini.

Anwar pula dalam kenyataannya termasuk di luar negara berulang kali menyatakan dia tidak bersalah dan mendakwa menjadi mangsa konspirasi tetapi biarlah mahkamah membuat penentuannya nanti.

Sementara kes kematian Beng Hock meninggalkan misteri, ia pada masa yang sama menawarkan ruang politiking baru bagi parti dan pemimpin pembangkang yang lebih terdesak memerlukan isu seperti itu sekarang.

No comments: