Tuesday, July 28, 2009

'SPRM TIDAK GUNA KEKERASAN FIZIKAL'

Sumber: Utusan Online

Pegawai-pegawai penyiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melakukan kekerasan fizikal semasa sesi soal siasat terhadap saksi.

Perkara itu diakui bekas Timbalan Ketua Pengarah (Pencegahan) BPR, Mohd. Nordin Ahmad, 66, yang bertugas di agensi itu selama 30 tahun sebelum bersara pada 1998.

Beliau yakin amalan berdasarkan kepada keluhuran undang-undang BPR itu masih lagi diamalkan sehingga kini walaupun telah melalui beberapa pindaan tertentu.

''Saya telah berada kira-kira 30 tahun dalam BPR termasuk mengetuai pelbagai unit seperti siasatan dan pendakwaan. Kami langsung tidak mengamalkan sebarang kekerasan fizikal, saya juga tidak pernah dengar pegawai-pegawai lain yang berbuat demikian.

''Jika ada sekali pun, pasti tindakan salah itu akan segera dilaporkan mangsa kepada polis atau unit siasatan dalaman BPR untuk tindakan lanjut.

''Secara keseluruhan, kes-kes rasuah berkait rapat dengan jenayah kolar putih, kaedah yang diguna lebih menjurus kepada peperangan minda dan bukannya fizikal,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kuala Lumpur semalam.

Beliau yang menyertai BPR pada tahun 1968, diminta mengulas prosedur siasatan yang dijalankan oleh agensi itu semasa menyoal siasat saksi berdasarkan kepada pengalaman luasnya sebelum ini.

Mohd. Nordin juga berkata, pihaknya juga walaupun mempunyai kuasa mengikut undang-undang untuk memastikan kehadiran saksi memberi keterangan, tetapi tetap memilih kaedah diplomasi mengikut kesesuaian masa dan tempat seperti yang dikehendaki oleh pihak terbabit.

Bagaimanapun katanya, terdapat dua kategori saksi iaitu yang memberikan kerjasama baik dan agak liat untuk menghadirkan diri.

''Bagi yang degil ini, kita mempunyai kuasa mengikut peruntukan Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah mengeluarkan perintah bertulis mengarahkan saksi tersebut hadir memberi keterangan. Jika masih enggan, barulah BPR merujuk kepada majistret untuk mengeluarkan waran,'' katanya.

Mengulas mengenai sesi temu bual pula, Mohd. Nordin menjelaskan, setiap kali sebelum sesi dijalankan, pegawai penyiasat BPR akan terlebih dahulu menerangkan secara jelas dan terperinci hak-hak saksi mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, pihaknya juga memberikan kebenaran kepada saksi untuk berehat atau menyambung temu bual kepada hari lain, sekiranya mereka terlalu penat atau mempunyai alasan kukuh.

''Kita amat berperikemanusiaan kerana mereka adalah saksi kita yang akan membantu siasatan.
''Bagi saksi yang liat iaitu cakap separuh betul, BPR seboleh-bolehnya akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keterangan, bukti dan maklumat lengkap daripada mereka tetapi masih tetap tidak menggunakan kekerasan fizikal,'' katanya.

Beliau juga ditanya mengenai kematian Setiausaha Politik kepada Exco kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock yang mayatnya ditemui di koridor luar tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM.

Mohd. Nordin berkata: ''Saya amat sedih dengan kejadian itu kerana sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu, iaitu saksi BPR mati dalam kawasan premis kita.''

Beliau berharap semua pihak tidak menyalahkan pihak-pihak tertentu termasuk mempolitikkan kejadian itu sebaliknya memberi peluang kepada proses perundangan dijalankan sebaik mungkin.

No comments: