Friday, July 17, 2009

NIK AZIZ CAKAP IKUT SEDAP MULUT

Oleh Malek Saiful Muda (citra_bangsa@yahoo.com)

BAGI orang Pas, Nik Aziz Nik Mat adalah ulama. Apa sahaja yang Nik Aziz cakap, mereka akan anggap sebagai fatwa dan kadang-kadang hukum. Hakikatnya, NiK Aziz adalah orang politik. Selagi dia bermain politik, dia tidak terlepas dari bercakap hal-hal politik.

Nik Aziz mahu dirinya dihormati. Tetapi apabila dia bercakap, orang akan tahu bahawa dia memang jenis cakap lepas dan tidak berilmu. Ilmu agama yang dia belajar, dia tidak amalkan malahan, dia boleh panjangkan fitnah seolah-olah dia terlepas dari dosa memfitnah.

Orang Pas tidak akan menerima hakikat ini. Mereka anggap Nik Aziz bukan calang-calang ulama. Mereka anggap Nik Aziz tidak melakukan kesalahan. Mereka menyifatkan Nik Aziz terlalu tinggi maqamnya hingga bercakap apa sahaja tanpa merujuk kepada fakta.

Ketika ulama Pas ini terkejut dengan keputusan pilihan raya kecil DUN Manek Urai, di mana calon Pas Mohd Fauzi Abdullah hanya menang dengan majoriti 65 undi, dia mendakwa Umno membawa duit untuk ditaburkan di Manek Urai, berguni-guni.

Bila ditanya, adakah dia nampak apa yang dia tuduh itu, Nik Aziz menjawab, “saya dengar orang bercakap.”

Siapa yang bercakap kepada Nik Aziz, tentunya kita semua sedia maklum. Bukan semua orang boleh dekat dengan Nik Aziz. Dia sentiasa dikawal rapi oleh ‘pengawal-pengawalnya’.

Misalannya, Pengarah Pilihan Raya Kelantan, Abdul Fatah Harun, lebih kurang sejam lagi pusat-pusat pengundi mahu ditutup, dia sudah mengeluarkan kenyataan, Pas menang dengan majoriti 2,000 undi.

Begitu juga dengan Penasihat Pilihan Raya Kelantan, Wan Abdul Rahim, menang 2,000 hanya sebagai pembakar semangat kepada pekerja-pekerja Pas tetapi hakikatnya orang-orang Pas yang rapat dengan Nik Aziz ini, berbohong dan mendedahkan maklumat tidak sahih sudah biasa bagi mereka.

Jika mereka menuduh Umno rasuah, mereka tidak perlu membuktikannya kerana “orang Pas akan percaya” apa sahaja yang keluar dari mulut Tok Guru mereka. Bagi mereka ini fatwa walaupun mereka tidak menganggapnya sebagai ‘sabda’.

Mohd Fauzi mendapat 5,348 undi kerana Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa datang berkempen. Kalau Nasharuddin tidak datang, calon Pas itu mustahil boleh menang. Khabarnya Nik Aziz yang tidak diberitahu bahawa Nasharuddin terlantar di Hospital Serdang kerana menjalani pembedahan, mengharap sangat kedatangan Nasharuddin ke Manek Urai.

Nik Aziz mungkin bermimpi, jika Mohd Fauzi mahu menang perlu mendapat suntikan dari Nasharuddin yang baru mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Pas. Dua ‘jaguh’ Pas yang merupakan ‘blue eyes boy’ Nik Aziz, Husam Musa dan Mohamad Sabu ditewaskan dengan mudah oleh Nasharuddin. Sedikit sebanyak penyokong Nasharuddin di Manek Urai ‘menuntut kedatangan’ Nasharuddin.

Calon Umno (BN) Tuan Aziz Tuan Mat tidak perlu kecewa dengan kekalahan tipis. Undi yang beliau kutip sebanyak 5,283 undi bukan sedikit kerana dalam PRU 12, Mac 2008, calon BN (Umno) hanya mengutip 4,394 undi. Peningkatan 889 undi dari PRU 12, membuktikan Nik Aziz semakin tipis sokongannya di Kelantan.

Pengundi Manek Urai barangkali kurang mengenali Mohd Fauzi walaupun dia dikatakan memang mahu diletakkan bertanding dalam PRU 12 yang lalu tetapi disebabkan beberapa hal, namanya tercicir. Kematian Ismail Yaakob membuatkan pintu rezekinya untuk menjadi wakil rakyat terbuka kembali.

Bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa dengan nada mengada-ngada membuat komen, “ingatkan Pas kalah tetapi rupanya Pas menang.” Komen itu bukan ikhlas tetapi dia terpaksa bercakap sedemikian kerana semua pihak dalam Pas awal-awal lagi mendabik dada mengatakan Pas akan menang mudah di Manek Urai kerana ini merupakan kubu Pas.

Nik Aziz sudah membuat tuduhan Umno membawa duit berguni-guni. Nik Aziz sudah memulakan fitnah. Kalau ada orang Umno mencabarnya supaya membuktikan dakwaannya itu, dia akan berkata, “saya tak mahu layan cabaran itu.” Ini sudah biasa dikatakan, dalam beberapa kes sebelum ini.

Selagi orang-orang yang sama, berakar umbi di keliling Nik Aziz, selagi itulah Nik Aziz akan bercakap perkara-perkara yang tidak betul. Malahan, tingkah lakunya akan menjatuhkan imejnya sendiri. Dia mungkin yakin, orang Pas percaya apa yang dia cakap tetapi dia bukan menang pilihan raya atas undi penyokong Pas sahaja.

Nik Aziz mungkin selesa dengan Husam di kirinya. Nik Aziz mungkin seronok Fatah di kanannya. Nik Aziz mungkin suka Wan Abdul Rahim di depannya dan apabila orang-orang ini melaporkan sesuatu, Nik Aziz akan mengulanginya di depan media dan orang ramai.

Nik Aziz sebenarnya terkejut. Ini bukan terkejut biasa tetapi terkejut yang amat sangat. Walau apa pun dia bercakap, sebenarnya dia terkejut pengundi Manek Urai boleh mengurangkan majoriti Pas dari 1,352 dalam PRU 12 yang lalu kepada 65 undi dalam pilihan raya kecil 14 Julai lalu.

Setiausaha Agung DAP mengaitkan kejayaan 100 hari Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri memberi kesan kepada pengundian di Manek Urai.

Beberapa pemimpin NGO pula menyifatkan kerja kuat dan kebolehan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin membaca ayat-ayat al-Quran dan menterjemahkannya ketika berkempen juga memberi markah yang bukan sedikit.

Tidak hairanlah ramai yang menyifatkan kepimpinan Najib dengan gandingan bersama Muhyiddin akan menarik kembali sokongan rakyat kepada BN walaupun sebelum ini BN kelihatan terkial-kial mencari sokongan.

Seperti biasa, Pas akan memutar belitkan cerita, kononnya janji pembangunan yang dibawa Umno sebagai penyebab mengapa pengundi beralih arah. Namun, mereka lupa, selama-lamanya Umno dan BN memang menjaja pembangunan sebagai modal berkempen dan Pas pula terus menerus menjanjikan syurga dan neraka dalam kempen-kempennya.

Pas tidak mungkin dapat tidur lena dengan keputusan di Manek Urai ini. Walaupun pemimpin agung mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menang tetap menang dan kalah tetap kalah, tetapi mereka sudah dapat merasakan kekalahan sudah menghampiri mereka.

Ketika mereka diyakinkan PRU 13 kelak, Pakatan Pembangkang akan dapat menumbangkan BN, tetapi dengan apa yang berlaku di Manek Urai, angan-angan itu hanya tinggal angan-angan sahaja. Malahan, DAP cukup terasa ‘kekalahan’ dengan apa yang dicapai Pas di Manek Urai.

Kes Anwar Ibrahim sudah bermula. Azmin Ali sudah mula menyerang DAP secara tidak langsung dengan desakan supaya rombakan barisan Exco di Selangor perlu dilakukan. DAP di Kedah menyerang kepimpinan Pas walaupun, seminggu kemudian mereka dikatakan kembali berdamai. PKR di Pulau Pinang tidak selesai lagi berbalah dengan DAP.

Serangan Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Woo Chee Keong terhadap Pejabat Exco Selangor dijadikan tempat mesyuarat aktiviti perniagaan ‘underground’ menyebabkan DAP di Selangor panas punggung. SPRM sudah mula menyiasat tujuh ADUN Pakatan Pembangkang yang didakwa menyalah gunakan peruntukan kerajaan untuk sumbangan, turut meresahkan banyak pihak.

Namun, percaya, dalam sehari dua ini, semua pemimpin pembangkang ini akan menyalahkan Umno kononnya semua ini adalah ‘permainan politik’ dan mereka tidak akan mahu mengaku bahawa mereka bukan ‘maksum’.

Orang ramai sebenarnya boleh berfikir sendiri. Apakah PKR, DAP dan Pas mampu memerintah? Jika mereka memerintah tetapi pemerintahan mereka penuh dengan hasad dengki, mahu mencari kesalahan orang lain, ia bukan sesuatu yang mendatangkan apa-apa faedah kepada rakyat.

Ketika mereka gagal menyelesaikan masalah rakyat, mereka menceritakan ada seorang bekas Menteri Besar membina rumah berharga RM24 juta. Walaupun bekas Menteri Besar itu sudah menafikannya, namun pihak yang menuduh terus membuat tuduhan.

Apa yang menyedihkan, tuduhan yang dibuat wakil rakyat DAP itu mendapat ‘sambutan’ dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Nasib baik DAP tidak menyerang isu PPSMI – dasar yang kelam-kabut pernah dibuat oleh Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir mahu mempertahankan dasarnya tetapi dalam masa yang sama, beliau tidak pernah mahu mengaku silap bahawa sebagai manusia dia juga pernah melakukan kesalahan! DAP berjaya menyakinkan Dr. Mahathir bahawa rumah bekas Menteri Besar Selangor berharga RM24 juta!

Nik Aziz lebih percaya DAP dari mahu bercakap soal kerajaan perpaduan yang diilhamkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Nik Aziz lebih suka mempertahankan Exco Selangor yang berbogel daripada mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno.

No comments: