Sunday, July 12, 2009

TUNTUTAN MANOHARAN AMAT BERBAHAYA

Oleh ASRUL MUNIFF AZIZAN, Presiden Pertubuhan Anak Muda Melayu Malaysia (Utusan Malaysia)

TUNTUTAN yang dibuat oleh M. Manoharan pada sidang DUN Selangor agar bukan Melayu diberi status bumiputera adalah amat berbahaya sekali. Tuntutan seperti ini akan mengakibatkan pergolakan dan suasana yang tidak selesa di dalam negara yang tercinta ini. Dakwaan beliau bahawa kaum bukan Melayu diasingkan sebagai warga negara tidak dapat diterima sama sekali.
Semua orang sedia maklum bahawa pencapaian kaum bukan Melayu di Malaysia adalah jauh lebih baik berbanding dengan pencapaian bangsa Melayu sendiri.

Kita dapat lihat di kawasan utama perniagaan sebahagian besar perniagaan dimiliki oleh kaum bukan Melayu.
Pengumuman kerajaan baru-baru ini berkenaan ekuiti bumiputera yang masih pada kadar 19 peratus untuk lebih 15 tahun lepas membuktikan bahawa bangsa Melayu masih ketinggalan dari segi pemilikan perniagaan.
Beliau juga cuba untuk menjustifikasikan bahawa dengan pemberian taraf bumiputera kepada semua kaum yang lahir selepas 31 Ogos 1957 akan merealisasikan konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri.

Pada pendapat saya beliau masih belum memahami sepenuhnya konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri. Konsep ini secara jelas menyebut '1Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan', bukannya bumiputera didahulukan.

Apabila disebut 'rakyat' maka semua rakyat Malaysia akan didahulukan tanpa mengira kaum. Oleh itu isu bahawa bukan Melayu dipinggirkan tidak akan timbul sama sekali.

M. Manoharan cuba untuk mencari publisiti murahan tanpa memikirkan akibat terhadap perbuatan beliau. Di dalam situasi di mana negara sedang bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi dan wabak penyakit selesema babi, adalah kurang sesuai untuk untuk seseorang yang dipilih oleh rakyat membawa isu yang berbahaya ini ke DUN yang mulia.

Adalah lebih baik YB sekalian menumpukan sepenuh kebijaksanaan untuk membantu Perdana Menteri membawa Malaysia keluar dari kemelut ekonomi dan seterusnya membesarkan lagi 'kek' ekonomi di negara ini agar semua rakyat tanpa mengira kaum dapat sama-sama menikmati 'kek' tersebut.

Publisiti murahan seperti ini tidak akan dapat membantu negara malah akan menyusahkan lagi negara. Tidak perlu perkara yang sudah termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan hendak diungkit dan dicabar.

Malaysia sudah merdeka lebih dari 50 tahun. Dalam tempoh tersebut kita telah hidup aman damai bersama masyarakat berbilang bangsa. Setiap kaum mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Marilah kita bersama-sama terus mengekalkan keharmonian ini untuk kita wariskan kepada generasi yang akan datang. Jangan sampai anak dan cucu kita menyalahkan kita di kemudian hari.

No comments: