Wednesday, July 1, 2009

JANGANLAH PESONGKAN ISLAM DARI CONTOH MUNGKAR

Warkah terbuka untuk Nik Aziz bin Nik Mat

‘Marilah kita sama-sama menadah tangan berdoa semoga Allah mengampunkan dosa Nik Aziz bin Nik Mat sekiranya beliau menerima teguran ini lalu bertaubat nasohah tidak akan lagi mencerca mana-mana seteru, musuh mahupun para sahabatnya’


Oleh MUHAMMAD ALI MOHD JAH (lesungbaru.blogspot.com)

Setelah Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat puas mengata UMNO sebagai kominis dan seperti guru ajaran agama sesat haram Ayah Pin, kemudian dengan mudah mengalih kenyataannya kepada kononnya kata-kata itu hanya satu kiasan.

Nampak sangat Nik Aziz tidak tahu membezakan antara kata-kata biasa, kecaman dan kiasan. Contoh kiasan ialah seperti ungkapan ‘perbezaan UMNO dengan Pas adalah seperti jarak antara bumi dengan langit.’ Bahasa kecaman adalah seperti Nik Aziz kata UMNO seperti kominis dan Ayah Pin. Ia bukan sahaja kecaman tetapi juga menghina.

Memang sesuailah apa yang pengelola laman web ini katakan dalam ruangan editorialnya semalam bahawa Nik Aziz sepatutnya usahlah jadi apa pun lagi. Beliau sepatutnya segera menumpukan kepada taubat sebelum terlambat. Selagi Nik Aziz terus berkecimpung dalam politik, beliau secara langsung dan tidak langsungnya akan membenam dirinya ke arah menghimpun dosa-dosa besar.

Dalam usia Nik Aziz yang perbezaannya menjangkau 48 tahun dari usia saya, tentunya saya layak memanggil beliau atuk. Pengetuahn agama Islam antara beliau dengan saya pun cukup jauh saya terlalu cetek kerana dari latar belakangnya yang saya timba dari makalah dan buku-buku mengenainya, beliau adalah terdiri daripada bukan calang-calang orang.

Tentunya dengan kedudukan beliau sekarang yang diletakkan ke tahap seorang Mursyid sepatutnya menjaga setiap kata-katanya kerana lidah itu adalah senjata yang akan mengheret kita ke neraka jahanam kalau tidak dikawal dengan iman yang kukuh lagi bertaqwa.

Sebagai antara orang yang mengasaskan Pas bertujuan menegakkan syiar Islam melalui sebuah parti politik sekarang ini bersekongkol dengan parti-parti yang tidak membawa unsur-unsur Islam seperti PKR dan DAP, tetapi Nik Aziz jugalah menjadi orang telah merosakkan imej Islam sebenar.

Beliau yang merestui sayap Kelab Penyokong Pas (KPP) semata-mata mahu membawa bukan Islam untuk sama-sama berjuang untuk Islam adalah satu perkara yang cukup dipandang menghina Islam seolah-olah Islam tidak boleh berdikari.

Sayang seribu kali sayang, apabila Pas sudah sedikit demi sedikit mendapat sokongan rakyat dan sudah berada di puncak mercu keagungan Islam, Nik Aziz pula telah merosakkannya dengan bersekutu dengan parti bukan Islam, menubuh sayap penyokong bukan Islam dan terakhir ini menolak permesyuarahan perpaduan sesama orang Islam.

Daripada alasan Nik Aziz berikan kepada orang ramai yang beliau megatakan UMNO sebagai kominis dan Ayah Pin hanya sebagai kiasan, saya berpendapat bahawa Nik Aziz sudah tersasar jauh hingga teguran dari Mufti Perak, Tan Sri Hurassani Zakaria yang ikhlas dipandang rendah.

Mungkin Nik Aziz terasa amat malu bila mendapat teguran daripada seorang ulama lain dengan cara berhemah, maka melentinglah dia dan cepat-cepat mengatakan ia satu kiasan yang juga dilihat cuba berselindung di sebalik kekufurannya.

Dari sikap Nik Aziz terhadap perpaduan orang Melayu tentunya dari kaca mata orang Islam secara keseluruhannya, Nik Aziz merupakan seorang ulama yang kita tidak tahu siapa mengiktiraf beliau sebagai ulama, telah dengan sendiri meletakkan beliau sebagai ulama bertahap cukup rendah di sisi masyarakat Islam.

Selama ini memang jarang, malah belum pernah lagi mana-mana ulama lain menegur Nik Aziz secara terang-terang dan berani menyebabkan beliau mungkin terkedu dan malu. Apa yang Hurassani tegur itu adalah sesuatu yang tepat dan benar. Maksud lebih dari itu, Nik Aziz hilang kelayakannya menjunjung title ulama dan orang Mursyid.

Beliau sudah jatuh kepada orang kufur dan takbur dalam menjalani tanggungjawabnya sebagai orang Islam yang sepatutnya sentiasa sedar di mana dia berada dalam usaha membawa kebaikan sesama ummah ke jalan yang benar.

Sebelum ini, Nik Aziz sudah dilihat banyak kali mengeluarkan kenyataan yang tidak munasabah bila mempertahankan sesuatu isu yang beliau sendiri tahu ianya tidak mendatangkan keuntungan bagi orang Islam. Ketika mempertahankan isu sebuah buku tulisan Shahnon Ahmad bertajuk ‘Shit’ yang penuh dengan perkataan kotor dan mencarut, Nik Aziz pun kata Tuhan pun mencarut. Maka pengikutnya pun mulalah mencarut di mana-mana ceramah yang pernah kita dengar.

Bila mempertahankan ADUN Perak, Koh Meng membaca beberapa potong ayat Quran, Nik Aziz kata tak mengapa kerana katanya siapa pun boleh membaca ayat Quran walaupun mereka tidak tahu erti sebenar mahupun dengan sebutan yang pelat dan sumbang.

Semua inilah apabila dalam beberapa hal, keadaan beliau disangsikan, telah rupanya semakin teruk dan melarat mengatakan parti seterunya UMNO sebagai kominis dan disamakan pula dengan pemimpin kerajaan langit, Ayah Pin yang mana kedua-dua nama itu sangat hina di mata masyarakat Melayu terutamanya.

Buat akhir perenggan ini, saya mengajak semua orang Islam, marilah kita sama-sama menadah tangan berdoa semoga Allah mengampunkan dosa Nik Aziz bin Nik Mat sekiranya beliau menerima teguran ini lalu bertaubat nasohah tidak akan lagi mencerca mana-mana seteru, musuh mahupun para sahabatnya.

No comments: