Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
PENULIS berkesempatan melawat Xinjiang pada Mei tahun lalu. Ibu kotanya, Urumqi, terletak kira-kira 4,000 kilometer dari Beijing.
Xinjiang meliputi satu per enam keluasan China. Ia mempunyai dua lembah yang dikelilingi oleh gunung-ganang di tiga penjuru.
Mungkin ramai tidak mengetahui Xinjiang merupakan wilayah autonomi umat Islam kaum Uighur dan merupakan wilayah yang kaya dengan sumber semula jadi.
Namun tekanan yang diterima daripada kerajaan pusat membuatkan wilayah itu tidak dapat membangun dengan sewajarnya. Wilayah itu sebenarnya kaya dengan emas dan batu-batu permata.
Xinjiang terkenal sejak berzaman sebagai 'gunung perbendaharaan'. Wilayah itu menghasilkan 3.061 tan emas dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu.
Lembah Juggar, Turpan dan Tarim terkenal sebagai 'mangkuk perbendaharaan' dengan limpahan minyak, gas asli, sylvite, mirabilite, vermiculite bentonite, arang batu, nikel, tembaga dan asbestos.
Hasil pertanian seperti buah-buahan, kapas, gandum dan sayur-sayuran mampu menampung kehidupan masyarakat Islam Xinjiang.
Corak kehidupan tradisi yang lebih mengutamakan saudara sesama Islam memberi peluang kepada orang miskin Xinjiang mendapat makanan dan bantuan kewangan daripada yang kaya.
Tuan-tuan tanah menyediakan makanan percuma kepada pekerja ladang mereka kerana upah yang diberi hanya mampu untuk membeli keperluan asas ahli keluarga pekerja sahaja.
Xinjiang juga merupakan satu wilayah yang kaya dengan sumber air di mana ia memiliki 570 sungai besar dan kecil.
Ia juga kaya dengan sumber biologi, minyak, arang batu dan keindahan alam semula jadi seperti gunung-ganang, padang pasir dan gurun.
Keindahan semula jadi dan keunikannya memberi satu gambaran kepada manusia erti keindahan dunia yang dilakarkan oleh Allah SWT apabila mengunjungi Gunung Altai dan Tianshan.
Altai diselaputi oleh salji dan sangat indah apabila dipanah cahaya matahari. Jaluran glasier membentuk sungai air batu menjalar daripada gunung ke tasik-tasik dan pemandangan sungai-sungai di sekeliling gunung juga amat mempesonakan.
Keindahan alam semula jadi sebenarnya mampu menjadikan Xinjiang sebagai tarikan pelancongan utama.
Gabungan antara kekayaan semula jadi, bahan galian, perbendaharaan emas dengan hasil pertanian merupakan faktor utama yang menyebabkan masyarakat Islam Xinjiang amat sukar untuk mendapat kemerdekaan sepenuhnya daripada Cina walaupun pelbagai usaha dilakukan.
Memandangkan kedudukan masyarakat Islam yang serba lemah daripada sudut ekonomi, ilmu pengetahuan, pengalaman dan lain-lain maka aktiviti gerakan secara radikal untuk mendapat kemerdekaan daripada China akan menyebabkan masyarakat Islam kehilangan beribu-ribu nyawa.
Berdasarkan kepada suasana dan penderitaan masyarakat Islam di Xinjiang ketika ini, penulis merasakan negara-negara Islam seperti Malaysia dan negara-negara Arab yang kaya perlu memainkan peranan penting bagi membantu masyarakat Uighur.
Hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara China boleh memberi peluang kepada negara Islam memperkembangkan usaha dan projek pembangunan di wilayah Xinjiang.
Penduduk Islam di wilayah tersebut mungkin mendapat peluang pekerjaan dan faedah pembangunan bersama antara negara-negara Islam dan China.
Suasana umat Islam yang berada di Xinjiang perlu mendapat perhatian negara Islam.
Melalui hubungan diplomatik yang baik dengan negara China maka peluang untuk membantu umat Islam yang terpinggir dan miskin mungkin dapat dilaksanakan.
China yang merupakan satu negara yang paling besar dan kepadatan penduduk yang tinggi mungkin menunjukkan sikap lebih positif terhadap negara-negara Islam kaya yang ingin melabur dan bekerjasama dalam membangunkan wilayah Xinjiang tersebut.
Kemasukan pelaburan asing terutama dari negara-negara Islam tentunya akan memberi manfaat yang lebih baik kepada penduduk Uighur.
Pelabur dari Malaysia dan negara Islam lain boleh memanfaatkan kekayaan sumber semulajadi Xinjiang untuk dibangunkan semaksimum mungkin.
Selain mendapat faedah daripada pelaburan tersebut, kita juga boleh membantu etnik Uighur menjana ekonomi mereka.
Hubungan diplomatik adalah satu cara terbaik untuk memujuk kerajaan China supaya lebih prihatin terhadap konsep kemanusiaan di wilayah Xinjiang.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
No comments:
Post a Comment