Thursday, October 13, 2016

Cari Yang Buruk Dr Mahathir Demi Pertahankan Kedudukan Najib

Pelajar di Universiti Malaysia Utara
Semakin hari semakin gawat dan bercelaru pemikiran pemikiran pemimpin UMNO.

Selagi banyak usaha mempertahankan Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri selagi bingunglah rakyat dengan kenyataan pemimpin UMNO khususnya menteri.

Mereka jelas tidak mempertahakan UMNO tetapi individu yang dilihatnya amat berkuasa dan tidak melihat bagaimana parti UMNO yang suci  itu semakin dicemari oleh mereka sendiri.

Bolehkah Najib bertahan jika UMNO roboh?

Dan bolehkah mereka – termasuk menteri – kekal berkuasa sekiranya UMNO ditolak oleh rakyat hanya kerana perjuangan pemimpinnya kini hanya mempertahankan Najib?

Hari ini, namanya Menteri Komunikasi.

Tetapi mungkin dia tidak membaca dan melihat dengan jelas bagaimana punca timbulnya isu melenyapkan legasi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini  Bendahari Umno itu, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata jika kerajaan mahu menghapuskan legasi Dr Mahathir, sudah tentu KLCC turut dirobohkan.


Pendapat seorang yang bergelar Dr (ijazah kedoktoran) dan menteri secetek ini?

Beliau menyatakannya sebagai menafi dakwaan Dr Mahathir bahawa pentadbiran sekarang cuba memadamkan legasi beliau dengan usaha membunuh industri kereta nasional Proton yang diilhamkannya.

Beliau yang juga adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia,  berkata jika dakwaan itu benar, banyak legasi lain bekas perdana menteri itu boleh dihapuskan.

Mungkin kerana mahu mempertahankan bosnya dengan perasaan meruap-ruap, beliau lupa bahawa UMNOlah yang kini yang turun padang berkempen mahu menghapuskan legasi Dr Mahathir supaya beliau dilupakan.

Dengan harapan dapat dilenyapkan daripada ingatan rakyat Malaysia.

Dalam tulisan di blog semalam, Mahathir menuduh Perdana Menteri  mahu Proton bankrap dan menjualnya dengan murah kepada orang asing.

Di Kuala Terengganu 8 Oktober lalu, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa bercakap mengenai legasi negatif Dr Mahathir yang terpaksa ditanggung oleh Perdana Menteri.

Katanya program penswastaan adalah legasi positif tetapi ada negatifnya apabila rakyat kena bayar tol, semakin lama semakin mahal, tetapi rakyat marah pada Najib sedangkan perjanjian dilakukan pada zaman Dr Mahathir.


"Tol naik tiga tahun sekali... ini legasi negatif pada zaman Tun Mahathir yang membebankan rakyat," katanya.

Cara beliau menjawab seolah-olah tiada cara menurunkan tol atau apakah selepas ini lebuh raya yang dibina tidak akan dikenakan tol?

Beliau berkata demikian berucap sempena Himpunan Jentera Penerangan UMNO Terengganu Jumaat lalu.

Berikutan itu, beliau berkata Najib harus mengubah dan merombak legasi itu kerana ia hanya menyusah dan membebankan rakyat.

"Banyak legasi negatif rakyat terpaksa tanggung hari ini...saya tak nafikan ada legasi positif yang ditinggalkan ketika saya menjadi menteri, tetapi legasi negatif perlu dirombak,” katanya.

"Ada lagi legasi negatif pada zaman Tun Mahathir termasuk penswastaan sisa pepejal yang kita juga ada bincang dalam Majlis Tertinggi. Melalui penswastaan ini, kerajaan tempatan perlu bayar banyak...bila kerajaan tempatan perlu bayar banyak, kita terpaksa naikkan cukai pintu dan yang terbebannya rakyat.


"Legasi-legasi negatif ini hanya memperkayakan beberapa pihak...tetapi saya tak nafikan legasi positif kerana saya juga menteri ketika itu, tetapi mana-mana legasi negatif yang menyusahkan rakyat saya harap ia dirombak supaya rakyat lebih hidup senang," kata Annuar.

Annuar mendedahkan betapa ‘bodohnya’ beliau ketika menjadi menteri, seolah-olah mengiakan sahaja pendapat Dr Mahathir. Kenapa tidak bantah?

Bimbang hilang kuasa dan kedudukannya, sudah pasti. Jadi?

Annuar selanjutnya berkata, sekiranya legasi negatif era Dr Mahathir dapat diselesaikan, pihaknya percaya sokongan rakyat akan terus berpihak kepada kerajaan.

Rakyat sebodoh itu menilai sumbangan Dr Mahathir kepada Malaysia sehingga menjadi salah sebuah negara maju, bukan sahaja di kalangan negara Islam tetapi juga pernah digelar “Harimau Asia’.

Annuar yang mudah lupa bukan Dr Mahathir!

Salleh pula hari ini berhujah, kerajaan hari ini berpaksikan kepada rakyat didahulukan iaitu membangunkan kemudahan yang dapat memanfaatkan rakyat secara keseluruhan dan bukan segelintir golongan sebagaimana berlaku di era pentadbiran beliau.

Pelabuhan Tanjung Pelepas
Ini pun cetek pemikiran dan hujahnya. Kerajaan 22 tahun di bawah Dr Mahathir hanya menyediakan kemudahan untuk segelintir golongan?

Apakah lebuh raya, jambatan Pulau Pinang, lapangan terbang, universiti, Putrajaya, perbankan Islam, insurans Islam dan pentadbiran ‘bercirikan Islam’ itu menyusahkan rakyat?

Laporan portal Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) bagaimanapun mengatakan Salleh mengakui bahawa peranan Mahathir dalam Proton tidak dapat dinafikan.

Salleh turut mengingatkan bekas perdana menteri itu bahawa kerajaan menyediakan suntikan berjumlah RM1.5 bilion kepada syarikat yang bermasalah tersebut pada bulan April. “Malah, pinjaman mudah itu antara lain bagi membantu syarikat automotif itu membayar vendor,” kata Salleh.

Salleh tidak pula menyatakan kerana adanya Proton ramai orang muda, khususnya pelajar ramai yang mampu memiliki kereta,

Kalau tidak kerana ada kereta Malaysia, ramai rakyat tidak berpeluang memiliki kereta kerana cukai yang tinggi. Kenapa Najib tidak menurun cukai kereta import sampai sekarang?

Kenapa legasi Dr Mahathir ini dikekalkan?Bukan Proton sahaja wahai Salleh dan Annuar, banyak lagi sumbangan Dr Mahathir.
  
‘Legasi baik’ Dr Mahathir tidak cukup kertas untuk senaraikannya. Juga, bukan segelitir golongan sahaja yang mendapat manfaat daripada pentadbiran Dr Mahathir.

Bercakaplah yang benar dan jangan kerana mahu jawatan dan kedudukan dikekalkan, kerja hanya mencari ‘kelemahan dan yang buruk mengenai Dr Mahathir’ sahaja ditonjolkan.


1 comment:

ayah said...

Mana ada menteri2 yang cerdik dalam kabinet Najib? Yang ada banyak, mangkuk sahaja.

Salleh Keruak bukan ada apa2 sumbangan kepada negara. Marah tsk hsbis terhadap Tun kerana hanya dinerkan berkhidmat 1/2 penggal sebagai ketua Menteri - tempoh yang terlalu pendek untuk membolehkan ia mengaut kekayaan.

Anuar pula tinggalkan projek kebun orkid yang dah hilang ke mana dan wang yang diperuntukkan lesap begitu sahaja.

Mereka ini sebenarnya tidak layak bercakap tentang "legasi".