Friday, August 5, 2016

Ahmad Razif Nafi Tandatangan Dokumen Telaga Minyak Bertam P307...


Hujan tidak, rebut tidak, tiba-tiba semalam Menteri Besar Terengganu memperkatakan mengenai isu tandatangan dokumen mengenai telaga minyak Bertam.

Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan beliau ada menandatangani sebarang dokumen berkenaan untuk diserahkan kepada Pahang dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Inilah kali pertama, isu ini diketahui ada berkaitan dengan Menteri Besar berkenaan. Kebetulan beliau sendiri yang menafikan pada sidang media di Kuala Terengganu semalam.

Siapa yang memperkatakan isu tandatangan sebelum ini?

Ia bukan sesuatu yang menjadi perbualan ‘kedai kopi’ atau ‘lobi’. Tidak tahulah kalau peringkat gosip politik.

Atau mungkinkah isu tandatangan ini sudah menjadi perbualan umum yang sudah dibuat di kalangan ‘orang politik’ di Terengganu sebelum ini?

Jika ditandatangani untuk 1MDB, untuk apa lagi syarikat pelaburan strategik negara itu berkehendakkan telaga minyak berkenaan? Untuk dicagar?


Tidak cukup lagikah dengan ‘harta’ dan pemilikannya sejauh ini?

Ahmad Razif mengulas kenya­taan Datuk Seri Ahmad Said kelmarin yang meminta beliau memberi penjelasan mengenai isu telaga minyak Bertam 307 itu dan beliau didakwa telah menandatangani serta menyerahkannya kepada Pahang.

Dakwaan itu merupakan salah satu yang dijadikan alasan mengapa Ahmad Said tidak lagi berkeyakinan terhadap kepe­mimpinan Ahmad Razif.

Ini sesuatu yang baru mengenai isu Bertam ini.

Cerita 1MDB mahu menggadai telaga minyak ketika mula-mula ditubuhkan (ketika Terengganu Investment Authority atau TIA) telah didedahkan oleh Ahmad Said belum ‘terjawab dengan jelas’.

Merasmikan mesyuarat UMNO di Kemaman tahun lepas, Ahmad Said bersumpah bahawa ia cerita betul, bukan rekaan seperti yang dituduh oleh ADUN Air Puteh, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Kini ada pula cerita baru mengenai telaga minyak dan dikaitkan dengan 1MDB sekali lagi?

Apabila Ahmad Razif menyebut perkara ini walaupun dalam keadaan menafikan, persoalannya apakah ada pihak yang meminta atau mendesak beliau berbuat demikian bagi pihak kerajaan Terengganu?

Jika tidak ada permintaan, masakan beliau terpaksa menafikan menandatangani dokumen berkaitannya.

Menteri Besar itu mengatakan beliau tidak melakukan sebarang tandatangan mengenai telaga minyak Bertam kerana kawasan itu bukan milik kerajaan negeri dan ia dikendalikan oleh Petronas.

Apa yang ditegur oleh Ahmad Said sebelum ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah sikap Kerajaan Negeri Terengganu dalam isu telaga minyak Bertam PM307 yang terletak kira-kira 130km dari Pantai Geliga, Kemaman.

Ketika membuat teguran itu, bekas Menteri Besar itu mengatakan semuanya ada 15 telaga minyak, namun pengeluaran hanya empat atau lima  telaga sahaja dengan nilai pengeluaran ialah RM100 juta setahun.


Ahmad Said bertanya kenapa Terengganu tidak mendapat sebarang hasil daripadanya dan bagaimana Perdana Menteri menggunakan kuasaya dengan menyerahkannya kepada Pahang?

Bagaimana boleh kerajaan UMNO Terengganu di pimpin Oleh Ahmad  Razif  serta Petronas diam membisu megenai perkara ini?

Tidak pula disebut di sidang DUN mengenai isu telaga minyak itu mahu diserahkan kepada pihak tertentu.

Tiba-tiba Ahmad Razif  menafikan kenyataan bekas Menteri Besar Terengganu itu yang dikatakan menuduhnya sudah menandatangani dan menyerahkan medan telaga minyak Bertam 307 di perairan Terengganu kepada Pahang dan 1MDB.

Sebelum ini Ahmad Said tidak mengatakan perkara sedemikian atau bertanya secara terbuka.

Tetapi tidak tahulah kalau melalui ‘bisik-bisik’ atau diceritakan kepada mereka yang rapat dengannya?

‘This is news’. Ini sesuatu yang baru dan kali pertama didengar secara rasmi dan juga penafian secara rasmi untuk julung-julung kalinya oleh Menteri Besar berkenaan dalam isu ini.

 

Tegas Ahmad Razif, beliau tidak layak menandatangani sebarang surat menyurat kerana Bertam bukan hak milik negeri ini.

"Dalam hal ini, tiada berlaku tandatangan, tiada  surat menyurat, yang kita sedia ada pun bukan diisytiharkan milik Terengganu kerana telah melebihi tiga batu nautika, itu sudah jadi milik persekutuan," tegasnya.

Malah, apa yang diperoleh daripada hasil telaga minyak lain adalah hasil 'pemberian' dan perjanjian Menteri Besar terdahulu bersama Tun Abdul Razak bagi membantu negeri yang paling hampir dengan telaga minyak yang dijumpai.

"Sebenarnya tiada isu telaga minyak kerana ia bukan hak kerajaan negeri tetapi Persekutuan. Jadi kenapa kita dapat lima peratus?

Yang Bertam itu kepunyaan Petronas, kita tiada hak. Saya telah jelaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2016 di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Apakah isu menandatangani dokumen ini ada kaitan dengan penarikan semua pingat Ahmad Razif oleh Istana Terengganu?

Ada pihak membuat spekulasi sedemikian. Jika tidak ada kaitan dan jika bukan kerana isu menyerahkan telaga minyak, isu apa lagi yang menyebabkan pingat beliau ditarik balik oleh Istana Terengganu?

Apakah ada isu lebih besar daripada ini? Lagi ‘rahsia besar’.

Berkaitan desakan Ahmad Said itu, Ahmad Razif menjelaskan semalam, sehingga kini pihaknya masih berusaha membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Persekutuan agar Terengganu memperoleh pendapatan daripada telaga minyak terbabit.

Menurut Ahmad Razif,  tiada sebarang hasil dari Bertam diagihkan kepada mana-mana negeri dan ia adalah hasil negara.

Menurut Menteri Besar itu, telaga minyak Bertam tidak berada dalam lingkungan tiga batu nautika yang membolehkan ia menjadi hak milik penuh kerajaan negeri namun pihaknya masih cuba mendapatkan hasilnya demi kebaikan rakyat negeri ini.

Ini pun memeningkan juga. Kalau benar tidak menjadi hak milik kerajaan negeri, apa kewajaranya untuk menuntut hasil? Jika ia milik Pahang, tidak wajar kerajaan negeri meminta apa-apa.

Jawapan ini jauh berbeza dengan apa yang disebut oleh Ahmad Said pada sidang DUN menjawab soalan ADUN Batu Burok pada pertengahan Disember 2012 apabila mengatakan :"Kita (Kerajaan Terengganu) menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu...

Dengan penemuan rizab tambahan ini, Terengganu dijangka memperoleh tambahan royalti sebanyak RM100 juta setahun atau bergantung kepada anggaran pengeluaran."

Medan minyak itu terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan sempadan Terengganu dan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Ahmad Said juga turut mengesahkan bahawa kerajaan negeri ada menulis surat kepada Petronas mengenai status penemuan minyak itu, namun sehingga tarikh itu belum lagi menerima jawapan.

Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak terlebih dahulu mengistiharkan pada 30 Oktober 2012 bahawa negeri Pahang dan bukannya Terengganu berhak menerima royalti di medan minyak Bertam tersebut. Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negeri Pahang dijangka menerima royalti sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Menurut Ahmad Razif, beliau telah membuat permohonan rasmi supaya kerajaan Persekutuan meneliti semula ketetapan sebelum ini mengenai hak milik telaga minyak tersebut namun masih dalam peringkat perbincangan.
     
"Kerajaan negeri telah membuat permohonan rasmi kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) selaku Menteri Kewangan untuk membuat pertimbangan agar digunakan balik asas kepada komitmen (lebih tiga batu nautika milik kerajaan Persekutuan) yang telah diberi sebelum itu tetapi saya belum dapat keputusan daripada Perdana Menteri.

"Kita sendiri telah tubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dianggotai oleh beberapa pihak termasuk wakil pemetaan kerana kita nak tengok balik dan melihat semula peraturan dan ia bukan proses yang cepat yang kita boleh ambil keputusan,” kata Ahmad Razif.

Permohonan itu perlu dibuat mengikut peraturan. "Permohonan kita adalah cara yang terbaik, bukan minta dengan cara kekerasan, beri peluang kepada saya kerana kita masih dalam perundingan dan doakan agar ia dipermudahkan,” katanya.


Ahmad Razif menegaskan, beliau perlu diberi peluang menyelesaikannya. ia masih dalam proses rundingan.

No comments: