Tuesday, August 30, 2016

Apakah Husam Akan Mulai 'Sarung Jersi' AMANAH Malam Ini?


Teka teki hala tuju politik Datuk Husam Musa bakal berakhir malam ini apabila beliau dijangka akan membuat pengumuman penting dalam satu majlis anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) di Cyberjaya.

Husam yang mengunci mulut mengenai masa depan politiknya selepas dipecat daripada PAS, dijangka akan menyertai AMANAH dalam satu majlis yang akan diadakan malam ini (Selasa).

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara ini ketika diminta mengesahkan sama ada ADUN Salor itu akan menyertai parti itu.

"Akan ada pengumuman khas. Mari kita tunggu," katanya..

Menurut jemputan yang dihantar kepada media pada Isnin, Husam akan membuat 'penampilan istimewa' pada majlis makan malam ambang merdeka yang dianjurkan oleh AMANAH Putrajaya di Cyberjaya.

Beliau akan disertai oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.


Jika Husam menyertai AMANAH, ia bukanlah satu kejutan kerana beliau sebelum ini telah berkempen secara terbuka untuk parti itu semasa PRK Sungai Besar Jun lalu dan bukannya untuk PAS.

Husam telah dipecat daripada PAS pada bulan Mei, berikutan aduan salah laku.

Sebelum itu, beliau lantang mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pembalakan berleluasa dalam kerajaan pimpinan PAS di Kelantan dan berhubung kerajaan perpaduan dengan Umno.

Dalam satu kenyataan pada malam Isnin, Husam berkata beliau akan 'memakai jersi baharu' pada Selasa.

Husam berkata sejak hampir empat bulan beliau dipecat daripada PAS, tidak ada sebarang petunjuk bahawa beliau akan diterima lagi oleh parti.

"Tidak ada sebarang kajian semula terhadap pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada presiden parti nampaknya sia-sia," katanya.

Husam dijangka umum sertai parti baru di majlis makan malam AMANAH malam ini.



"Malam esok, bertempat di Cyberjaya, sebagai tetamu makan malam sebuah pertubuhan, saya berhasrat menamatkan masa penantian saya," kata beliau dalam satu kenyataan yang diedarkan semalam.

Selepas hampir empat bulan menurut beliau, nampaknya tidak ada sebarang isyarat untuk diterima semula (oleh Pas).

"Tiada semakan atas pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada Presiden Pas tidak berguna apa-apa," katanya.

Menurut kaedah Islam katanya, berdiam diri bukan pilihan.

"Al Qur'an menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al Qa'idun.
"Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur," katanya.

Berikut kenyataan penuh beliau yang telah viral dengan meluas dalam media soasial:

Esok, Saya Menyarung Jersi Baru
Kini, menghampiri empat bulan saya terpecat dari Pas.

Dalam tempoh itu, nampaknya tidak ada sebarang isyarat saya diterima semula. Tiada semakan atas pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada Presiden Pas tidak berguna apa-apa.

Saya menikmati tempoh bertenang. Sambil menemui anggota masyarakat untuk bertanya pandangan mereka. Terburu-buru adalah dari syaitan, kata Nabi s.a.w.

Memerhatikan apa yang berlaku. Merenung dan mencari petanda-petanda pedoman.

Nyata, negara menuju keadaan yang lebih kritikal dari sebelumnya.

Negeri kelahiran saya juga, tidak menjadi lebih baik selepas ombak pengislahan bermula 1990.

Wadah yang saya harapkan dulu, se akan telah 'terjual'. Tertambat dengan kejumudan tanpa inovasi, takwilan nas di luar relevansi, pelabelan dan syok sendiri, membelakangkan budaya argumentasi tetapi mengutamakan emosi, laungan tidak sama dengan aksi, terikat dengan umpan politik lawan dan gagal menerapkan agenda perjuangan yang lebih luas meliputi.

Berdiam diri bukanlah pilihan. Al Qur'an menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al Qa'idun.

Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur.

Saya?

Mencari gua persembunyian dari kelelahan perjuangan akan sia-sia. Berpaling kerana kecewa belum diberikan kejayaan perjuangan, adalah sama dengan apa yang dialami Nabi Yunus a.s ketika ditelan ikan dalam lautan. Tiga kegelapan menyelubungi baginda sebagai pengajaran untuk kita.

Sesekali, ketika fikiran terlintas untuk berehat dari mendayung perjuangan kerana digempur keberatan bebannya, kebimbangan atas pedoman Al Qur'an melalui kisah Yunus a.s itu menerpa.

Dunia bukan tempat istirehat.

Bersendirian? Juga bukan pilihan.

Empat bulan bukan singkat tetapi tidak pula tersangat panjang.

Di penghujung empat bulan penantian, saya memilih untuk menyertai bahtera baru untuk sama berganding mencuba merealisasikan: Islam Adalah Penyelesaian.

Yang lama dilaungkan tetapi belum menjadi realiti. Yang pernah sebahagian menjadi realiti, tetapi kini kabur semula.

Saya mencapai ketetapan, perjuangan Islam bukan hanya milik satu pihak, apa lagi satu parti.
Malam esok, bertempat di Cyberjaya, sebagai tetamu makan malam sebuah pertubuhan, saya berhasrat menamatkan masa penantian saya.

Dan mengumumkan parti baru pilihan saya.

Husam Musa
29 Ogos 2016
26 Dzulkaedah 1437

No comments: