"Seberapa banyak wang yang hilang itu, jika dapat dipulangkan kepada negara, tentulah sedikit sebanyak memberikan faedah kepada rakyat."
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa dalam suratnya kepada Yang
Di-Pertuan Agong memaklumkan bahawa beliau memberanikan diri mengambil tindakan
saman itu demi Malaysia.
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dimaklumkan bahawa seberapa
banyak wang yang hilang itu, jika dapat dipulangkan kepada negara, tentulah
sedikit sebanyak memberikan faedah kepada rakyat.
“Memandangkan sebahagian dari wang itu telah dibelanjakan
untuk bermewah-mewah dan berpoya-poya, ketika mana masih ada rakyat Malaysia
yang memerlukan pembelaan dan bantuan negara - tentulah menimbulkan kekesalan
dan kehibaan.
“Adalah aib pada hemat patik, jika tidak ada satu pun
rakyat Malaysia bertindak mengunakan saluran undang-undang untuk mengesahkan
laporan-laporan atas tindakan berkenaan dan seterusnya mengembalikan wang
negara yang jumlahnya begitu besar itu,” katanya.
Dalam surat terbuka bertarikh 17 Ogos, Husam turut
menyerahkan satu salinan saman saman tindakan perwakilan yang difailkannya
bersama peguam, Matthias Chang di Amerika Syarikat.
Husam juga berharap bahawa Seri Paduka akan mendoakan
kejayaan tindakan mereka demi Malaysia.
“Doakan jua supaya urusan ini dipermudahkan dengan segala
bentuk pertolongan dari Allah SWT dan hamba-hamba dan makhluknya.
Berikutan itu ADUN Salor itu itu memohon perkenaan Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung saman tindakan
perwakilan yang difailkannya bersama peguam, Matthias Chang di Amerika
Syarikat.
Husam dan Chang, iaitu bekas setiausaha politik Tun Dr
Mahathir Mohammad memfailkan saman berkenaan hampir dua minggu lalu bagi
menuntut ganti rugi terhadap wang yang dicuri daripada 1MDB dan mendapatkan
semula hartanah dan aset lain yang dibeli dengan dana yang diselewengkan itu.
“Patik suka menyembahkan, bahawa patik tahu ia sebuah
usaha yang sukar tetapi tidak lah wajar rakyat Malaysia hanya berputih mata
atas apa yang telah dan akan merugikan negara ini,” katanya dalam surat terbuka.
Salinan surat itu dilaporkan tersebar di media sosial dan
apabila dibawa kepada perhatian Husam, bekas naib presiden PAS itu mengesahkan
kepada Malaysiakini bahawa beliau menulis surat itu dan telah menghantarnya ke pejabat Tuanku Abdul
Halim.
Husam juga memaklumkan bahawa beliau dan Chang memfailkan
saman itu di mahkamah daerah selatan New York, Amerika Syarikat pada Khamis
lalu menerusi peguam Louis F Burke.
Lapan defendan yang dinamakan dalam asaman itu termasuk
anak tiri perdana menteri, Riza Shahriz Abdul Aziz; ahli perniagaan kelahiran
Pulau Pinang, Low Taek Jho; Goldman Sachs Group Inc, Timothy Leissner,
Christopher Joey McFarland, Red Granite Pictures Inc, Debra Whelan Johnson dan
Metropolis IX Capital Advisors, LLC.
Berikut
surat penuhnya:-
17
Ogos 2016
14 ZulKaedah 1437
Mengadap
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku
Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah
Yang
bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan kebesaran dan kemuliaan yang
dikurniakan Allah, Raja Segala Raja.
Assalamualaikum
dan Salam Sejahtera,
Ampun
Tuanku,
Dengan
segala hormat dan takzimnya patik merafakkkan sembah dan berdoa ke Hadrat Allah
Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Tuanku Seri Paduka Baginda sentiasa berada
dalam bimbingan, perlindungan, afiat dan kerahmatan dari Allah setiap masa dan
berlanjutan sampai akhirat nanti.
Ampun
Tuanku,
*MEMOHON
SEMBAH MAKLUM TINDAKAN SAMAN 'CLASS ACTION' DI AMERIKA SYARIKAT ATAS KEHILANGAN
WANG 1MDB*
Patik
dengan penuh takzim menerusi warkah ini, ingin merafakkan sembah mengenai
tindakan patik atas nama rakyat Malaysia dan mewakili rakyat Malaysia serta
benefisiari-benefisiari yang berhak ke atas faedah-faedah dari 1MDB di negara
ini, bersama bersama seorang lagi hamba rakyat Tuanku, Mathias Chang, telah
memfailkan saman yang dipanggil 'class action' ke atas pihak yang dikira
melarikan wang berkait 1MDB.
Saman
ini telah difailkan di Mahkamah Daerah Selatan New York, Amerika Syarikat pada
Khamis lalu, 11hb Ogos 2016.
Patik
mengguna pakai khidmat Peguam Louis F Burke untuk tujuan ini.
Patik
berdua telah menamakan lapan (8) Defendan yang terdiri daripada Riza Shahriz
Bin Abdul Aziz, Low Taek Jho, Goldman Sachs Group Inc., Timothy Leissner,
Christopher Joey McFarland, Red Granite Pictures Inc, Debra Whelan Johnson dan
Metropolis IX Capital Advisors, LLC.
Secara
ringkasnya, pemfailan tindakan saman tersebut adalah bertujuan untuk menuntut
ganti rugi terhadap wang yang dicuri daripada 1MDB dan mendapatkan semula
hartanah dan aset lain yang dibeli dengan menggunakan wang curi tersebut.
Bank
pelaburan Goldman Sachs turut dinamakan bersama bekas pengurus banknya Timothy
Leissner, yang mengatur bon dengan nilai berbilion dolar untuk 1MDB sebelum
ini.
Ampun
Tuanku,
Patik
memberanikan diri mengambil tindakan ini Demi Malaysia.
Seberapa
banyak wang yang telah hilang itu, jika dapat dipulangkan kepada negara kita,
tentulah sedikit sebanyak memberikan faedah kepada rakyat kita sendiri.
Memandangkan
sebahagian dari wang itu telah dibelanjakan untuk bermewah-mewah dan
berpoya-poya, ketika mana masih ada rakyat Malaysia yang memerlukan pembelaan
dan bantuan negara - tentulah menimbulkan kekesalan dan kehibaan.
Adalah
aib pada hemat patik, jika tidak ada satu pun rakyat Malaysia bertindak
mengunakan saluran undang-undang untuk mengesahkan laporan-laporan atas
tindakan berkenaan dan seterusnya mengembalikan wang negara yang jumlahnya
begitu besar itu.
Ampun
Tuanku,
Senaskhah
Palintif's Original Complaint berkenaan, patik sertakan bersama warkah ini
untuk tatapan Tuanku jua.
Terdapat
lima 'Course of Action' di bawah Claims for Relief yang patik pohon, seperti
tertera pada muka surat 26 - 31.
Ampun
Tuanku,
Patik
pohon Ke Bawah Duli Tuanku mendoakan kejayaan tindakan patik ini Demi Malaysia.
Doakan
jua supaya urusan ini dipermudahkan dengan segala bentuk pertolongan dari Allah
s.w.t dan hamba-hamba dan makhlukNya.
Patik
suka menyembahkan, bahawa patik tahu ianya sebuah usaha yang sukar tetapi tidak
lah wajar rakyat Malaysia hanya berputih mata atas apa yang telah dan akan
merugikan negara ini.
Ampun
Tuanku,
Patik
juga meminta diampunkan atas tindakan patik menjadikan warkah ini sebuah warkah
terbuka untuk tatapan rakyat jelata Malaysia juga.
Ampun
Tuanku,
Patik
akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekali lagi mempersembah pohonan
ampun atas apa jua kekhilafan patik menerusi warkah ini.
Payungan
Duli Yang Maha Mulia Tuanku berserta Duli-Duli Raja-Raja seluruhnya, akan
meletakkan negara ini kekal merdeka, berdaulat, aman makmur dan diredhai Maha
Pencipta.
Mudah-mudahan
Allah Subhanahu Wataala melanjutkan usia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam
kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan.
Amin
Ya Rabbal Alamin
Ampun
Tuanku,
Patik
dengan segala hormat takzimnya;
YB
Dato Hj Husam bin Musa
#DEMIMALAYSIA
No comments:
Post a Comment