Sunday, August 14, 2016

Tebus Dana 1MDB - Husam, Chang Kemuka Saman Di New York


Datuk Husam Musa mengotakan janjinya untuk menyaman beberapa individu dan institusi kewangan yang bersekongkol dengan pihak yang melesapkan harta rakyat negara ini dalam skandal yang ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Khamis lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Salor itu bersama-sama bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang bergandingan memfailkan saman secara berkumpulan di Amerika Syarikat.


Saman ditujukan kepada beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB seperti yang dinamakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) baru-baru ini.

Saman itu bertujuan memohon ganti rugi bagi kecurian dana firma pelaburan strategic negara dan mendapatkan semula aset yang diperoleh dengan menggunakan dana berkenaan.

Pada 30 Julai lalu, Husam menyatakan  sedang berunding untuk mendapat nasihat daripada  peguam-peguam Amerika Syarikat bertujuan  meneliti langkah-langkah untuk menuntut pihak-pihak yang bekerjasama dengan pemain-pemain dalam skandal 1MDB di Amerika Syarikat.

Pada ceramah sempena rumah terbuka raya AMANAH  di Wakaf Bharu, Tumpat pada tarikh tersebut, Husam berkata berdasarkan pandangan peguam dari  negara berkenaan, beberapa pihak seperti bank dan broker-broker yang turut berperanan menjalankan transaksi haram ini harus mengambil tanggungjawab kepada rakyat negara ini.

Tindakan mengemukakan saman itu dibuat bagi pihak rakyat Malaysia dan difailkan pada Khamis di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Daerah Selatan New York.

The Hollywood Reporter melaporkan semalam,  Husam dan Chang menamakan firma Red Granite, pengasas syarikat pengeluar dan pengedar filem Christopher Joey McFarland dan Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai defendan.

Menurut pemfailan mahkamah, Husam dan Chang  mendakwa defendan sengaja menggunakan dana yang dicuri daripada  1MDB untuk kepentingan peribadi mereka termasuk mengadakan pesta untuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah jutawan yang berasal dari Malaysia, Jho Low dan peguam percukaiannya, Debra Whelan Johnson serta firma miliknya, Metropolis IX Capital Advisors LLC.


Kumpulan perbankan iaitu Goldman Sachs Group dan bekas ‘orang besar bank berkenaan’ Timothy Leissner juga dinamakan.

Plaintif mendakwa individu-individu dan entiti yang dinamakan itu terlibat dalam urus niaga yang menjurus kepada kecurian dana 1MDB.

Menurut makluman yang diberitahu kepada Husam,  sebuah bank ternama Amerika Syarikat jelas melakukan kaedah transaksi wang 1MDB yang nyata salah di sisi undang-undang.

"Kita yakin dengan bantuan yang bakal diberi pelbagai pihak di Amerika Syarikat sendiri,  kita akan dapat kemukakan tuntutan ini termasuk menyaman sebuah bank ternama di sana.


"Kalau perlu saya sendiri akan ke AS untuk menjayakan tuntutan ini," katanya baru-baru ini.

No comments: