Thursday, August 25, 2016

Arca Lat Ganti Puncak Purnama - Di Mana Kementerian Pelancongan?


 "Harap-harap Arca Lat ini dijaga dengan baik dan tidak menjadi 'hodoh' dan usang seperti Puncak Purnama dan tidak menerima nasib yang sama selepas 30 atau 40 tahun akan datang!"

Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, untuk merobohkan artifak berkaitan seni atau warisan, ia sewajarnya diujuk kepada kementeriannya terlebih dahulu.

Bagaimana pula untuk mendirikan yang baru  dan memperkenalkannya?

Tidakkah ia juga perlu dirujuk atau berbincang dengan kementerian berkenaan?

Selepas hampir dua bulan Puncak Purnama ranap, hari ini Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merasmikan arca baru berupa karektor kartun ciptaan Datuk Lat.

Sebelas arca yang dirasmikan hari ini adalah watak kartun ilham pelukis terkenal, Lat, atau nama sebenarnya Mohammad Nor Khalid.

Didirikan di 11 lokasi berbeza di sepanjang Jalan Melaka, Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan, beliah berkata arca itu tidak akan mengalami nasib sama seperti Puncak Purnama.


23 Ogos lalu,  Datuk Seri Nazri Aziz turut berkongsi rasa kecewa apabila Puncak Purnama diranapkan.

Nazri berkata tindakan itu "amat mengecewakan" dan kejadian sedemikian diharap tidak berulang lagi.

Pada 16 Ogos kira-kira 200 seniman, pencinta dan aktivis seni berarak ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Jalan Sultan Ismail untuk mengadukan perkara itu.

Antara mereka ialah bekas pengerusi Bank UMBC Zain Azahari Zainal Abidin, pengarah filem U-Wei Saari dan Sasterawan Negara Datuk Baha Zain.

Seorang lagi Sasterawan Negara Prof Dr Muhammad Salleh menganggap langkah DBKL merobohkan Puncak Purnama itu sebagai "buta seni dan memalukan".

Berikutan itu  Nazri menegaskan,  perlu ada penyelarasan dibuat antara pihak yang terlibat dalam hal sedemikian, khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Apa yang lebih penting ialah pemilik tugu-tugu (atau arca) yang bertanggjawab, dia kena maklumkan pada kita (kementerian) kalau sesuatu nak dilakukan.

"Benda itu (perobohan Puncak Purnama) pun kita tak tahu," katanya kepada media di Putrajaya.


Puncak Purnama adalah sebuah arca hasil karya Seniman Negara Allahyarham Syed Ahmad Jamal yang dibina pada 1980-an melalui pembiayaan Bank UMBC.

Ia kemudian diserahkan kepada DBKL pada 1986. Di bawah kelolaan pihak berkuasa tempatan itu arca berkenaan pernah diubah suai tanpa mendapat kebenaran Syed Ahmad.

Syed Ahmad kemudian membawa perkara itu ke mahkamah dan memenangi kes berkenaan.

Arca di tengah Kuala Lumpur itu kemudian ranap pada 1 Julai lalu apabila DBKL memberi kebenaran untuk melakukan projek menaik taraf landskap di kawasan berkenaan.

Tengku Adnan sebelum ini menyatakan arca karya Syed Ahmad di Jalan Atap itu terpaksa dirobohkan kerana sudah usang dan tidak dapat diperbaiki lagi.

Apakah arca baru yang didirikan itu diberitahu atau dalam pengetahuan Nazri?

Jika Puncak Purnama disifatkan ‘hodoh’ oleh sesetengah pihak namun realitinya ia diwujudkan dengan ada makna dan tujuan.

"Mungkin pada pandangan kita (arca itu) hodoh tapi itu bukan masalahnya. Kita kena jaga warisan itu. Itu amat dukacita. Dia (Puncak Purnama) ada makna, ada nilai seni. Jadi sangat mengecewakan (perobohan arca itu). Kita harap supaya mesti ada koordinasi selepas ini," katanya.


Hari ini Tengku Adnan berkata DBKL akan menjamin Arca Lat itu akan dijaga dan diserahkan bawah penjagaan DBKL..

Projek arca kartun Lat itu adalah sebahagian daripada inisiatif DBKL untuk mengindah dan mewujudkan suasana ceria bandar raya Kuala Lumpur.

Ia juga sebahagian daripada usaha melengkapkan penyediaan elemen reka bentuk bandar bagi Laluan Jejak Warisan 2 yang bermula dari Jalan Melaka, Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan.

Menurut risalah majlis itu, inisiatif berkenaan menunjukkan kesungguhan dan komitmen DBKL menjayakan usaha kerajaan merealisasikan projek di bahawa peruntukan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang bagi menjadikan ia bandar raya crita, unggul dan bertaraf dunia.


Lukisan Lat pula meninggalkan kesan yang besar di kalangan rakyat Malaysia dan luar negara kerana ia menggambarkan kisah lucu dalam kehidupan seharian rakyat di negara ini.

Harap-harap Arca Lat ini dijaga dengan baik dan tidak menjadi 'hodoh' dan usang seperti Puncak Purnama selain menteri atau agensi yang bertanggungjawab terhadapnya menjaga ia dengan baik dan tidak menerima nasib yang sama seperti Puncak Purnama selepas 30 atau 40 tahun akan datang!

No comments: