Tuesday, August 9, 2016

Gelek Puteri – Penjajahan Hiburan, ‘Hedonisme’ Di Kalangan Wanita Muda


"Cukuplah dengan remaja yang bagaikan sudah tenggelam dengan segala macam hiburan dari televisyen,  FACEBOOK dan yang terbaru aplikasi permainan Pokemon Go hingga lalai dan terleka."

Oleh Zuraida Mohd Nor
Pengerusi Ameerah Terengganu

Mutakhir ini viral satu video yang memaparkan 4 orang ahli Puteri UMNO yang mempersembahkan tarian gelek dalam sebuah majlis perasmian persidangan sayap itu di Kota Bharu kelmarin.

Ia merupakan perkara yang sangat memalukan bagi muslimah yang bermaruah apabila dipersembahkan di hadapan seorang timbalan menteri lelaki bertaraf pusat.

Gelak tawa disorak-sorak oleh kaum lelaki di belakang dan di depan menimbulkan rasa sedih dan simpati terhadap penari tarian gelek berkenaan.

Zuraida...sedih dan simpati
Kita baru sahaja “lelah” melihat situasi remaja negara kita dihidangkan persembahan Selena Gomez dalam bulan Syawal yang lalu.

Apakah persamaan Selena dan Puteri UMNO itu? Kedua-duanya dikatakan berpakaian sopan tetapi menimbulkan aksi mengghairahkan.

Aksi tarian gelek serta persembahan artis remaja yang seksi dan liar itu jelas gambaran “candu” hedonisme yang telah lama dipaksa telan umat Islam di Malaysia.

UMNO selaku parti memerintah serta sayapnya Puteri UMNO sentiasa menjadikan hiburan sebagai agenda utama untuk meraih sokongan dan perhatian rakyat terutamanya golongan muda.

Sepatutnya sebuah sayap parti yang dikatakan membawa Islam, tunjukkanlah contoh yang terbaik buat ahli dan rakyat.

Islam sebagai agama fitrah tidak menghalang kecenderungan semula jadi manusia untuk ketawa dan berseronok.

Sebaliknya, Islam suka kepada setiap perkara yang menjadikan kehidupan manusia itu baik. Hiburan dalam Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa.

Bahkan melakukannya bukan hanya semata-mata untuk mencari keseronokan dan memenuhi tuntutan nafsu tanpa batasan. Rasulullah SAW juga bergurau dan bergelak ketawa bersama-sama para sahabat dan keluarga Baginda.

Ameerah Terengganu merasa amat kesal kerana persembahan tersebut dijayakan oleh wanita-wanita muda yang bakal menjadi peneraju negara. Ia sangat tidak bersesuaian dengan imej wanita Islam dan melayu yang seharusnya sopan dan beradab.

Kami merasakan pihak Puteri UMNO sangat tidak prihatin akan sensitivi masyarakat serta golongan wanita muda yang menjadi aspirasi organisasi mereka.

Firman Allah SWT :
وقل للمؤمنت يغضضن من أبصرهن ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها وليضربن بخمرهن على جيوبهن
 Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. (Surah An-Nur: ayat 31)

Justeru itu , kami mewakili wanita muda Islam menyeru semua pihak menolak budaya hedonisme yang semakin menular dalam masyarakat. Jangan biarkan hiburan menjajah kehidupan kita hingga tidak mampu dipisahkan.

Cukuplah dengan remaja yang bagaikan sudah tenggelam dengan segala macam hiburan dari televisyen , FACEBOOK dan yang terbaru aplikasi permainan Pokemon Go hingga lalai dan terleka.
  
Pemimpin seharusnya menjadi contoh tauladan buat semua. Semoga semua pimpinan parti politik bersikap matang dan berhati-hati dalam semua tindakan.

Tidak cukup sekadar permohonan maaf, seharusnya disusuli dengan tindakan yang efektif dan membuktikan kesungguhan membawa kebaikan kepada rakyat. Jangan pula permohonan maaf setelah segalanya viral dan mendapat kecaman.

Wanita Muslimah itu dimuliakan. Jagalah maruahmu. Jangan sampai mencalar maruah agamamu.

Tajuk asal - Gelek Puteri VS Selena Gomez (Tue, Aug 9th, 2016)

No comments: