Wednesday, August 31, 2016

Mari Ke Kelantan, Kami Ada Budu, Ada Tugu


"Lupakan tentang berapa banyak rumah kos rendah yang boleh dibina dengan wang sebanyak itu. Itu semua komentar mereka yang busuk hati dan dengki dengan kerajaan Islam Kelantan yang telah terbukti bersih, cekap dan amanah."

(Anak jati Kelantan yang suka menjadi pemerhati politik nonpartisan dari Kuala Lumpur)
  
Menjelang Hari Merdeka negara kita yang ke-59, saya tiba-tiba didatangi rasa untuk menulis pelbagai perkara.

Pada seorang penulis, ia tentunya rahmat yang menyamai istilah merdeka iaitu terbebas daripada belenggu writer's block.

Dari sisi politik mungkin saya akan berminat untuk mengikuti perkembangan di Cyberjaya yang melibatkan seorang bekas pemimpin utama parti saya dulu dan mengikut jejak saya memakai jersi baru.

Atau lebih ringan sedikit, saya mungkin boleh memakai 'topi' pengkritik sastera lalu mengulas tentang sepucuk surat - dari segi seni, sastera dan dakwah, mungkin - seorang ustaz.

Tapi menjelang merdeka ini saya lebih berminat untuk menulis tentang tugu. Ya, salah satu sebabnya adalah kerana merdeka dan tugu seperti tidak boleh dipisahkan.

Tanpa tugu bagaimana kita mahu mengenang sejarah? Dan tanpa sejarah bagaimana kita mahu menghayati erti sebenarnya merdeka?

Cuma kali ini saya bukan bercerita tentang Tugu Peringatan Negara di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur itu.

Saya mahu membawa anda semua ke Kuala Krai yang baru beberapa hari lalu secara rasminya menerima sebuah tugu peringatan banjir.

Banyak yang kita boleh banggakan dengan kewujudan tugu diberikan nama Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai (TPBKK) itu.

Seperti yang telah dijelaskan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, ia adalah satu mercu tanda penting untuk mengenang sejarah bah kuning yang berlaku pada penghujung 2014 yang lalu.

Sudah hampir dua tahun bencana itu berlalu dan sebahagian kita tidak lagi berbicara tentangnya. Sudah terlupakan nasib mangsa banjir yang berduyun-duyun kita kunjungi, salami dan selfie sebaik saja banjir surut ketika itu.

Pasti ramai bersyukur

Mujurlah ada tugu itu. Kita kembali teringat, dan kembali mengenang sejarah. Manusia sepatutnya tidak boleh tidak mengenang sejarah (dan hanya manusia bermasalah yang menganggap sejarah tidak penting.)

Kita selalu dengar orang bijak pandai sebut, "orang yang malas belajar dari sejarah akan ditipu berkali-kali". Mustahil kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak belajar dari sejarah. Mustahil mereka boleh ditipu berkali-kali. Justeru tidak hairanlah apabila kita lihat mereka sangat menghargai sejarah.

Rakyat Kelantan - terutamanya di Kuala Krai - pasti akan bersyukur dan sangat berterima kasih kepada semua mereka yang terlibat dalam pembinaan tugu itu.
  
Daripada yang memberi idea, penyumbang dana, kontraktor yang membina sehinggalah kepada penandatangan plak perasmian, - Menteri Besar Kelantan - sendiri sangat berjasa kepada negeri.

Kerajaan Kelantan tentulah kerajaan yang berwawasan. Dari segi dalamannya tentulah TPBKK ini akan mengingatkan penduduknya kepada kekuasaan Allah yang Maha Kuasa.

Ia tentunya akan menambahkan lagi nilai ketakwaan penduduk Kelantan yang telah terkenal dengan penghayatan Islam yang kuat.

Para pengunjung Kuala Krai atau sesiapa yang terpandang TPBKK pasti akan lebih mengingati Allah.

Ini satu bentuk dakwah yang sangat subtle, tidak perlukan kata-kata yang banyak atau surat panjang lebar (waima seperti surat seorang ustaz kepada selebriti itu).

Dari segi luaran pula, TPBKK tentu akan membantu menambahkan lagi kerencaman aktiviti ekonomi di negeri yang kaya dengan tarikan pelancongan ini.

Pada masa sama 2016 adalah Tahun Melawat Kelantan. Datanglah ke Kelantan; ada budu, ada juga tugu.

Tugu tarikan pelancongan itu tentunya bukan menjadi pendorong kedatangan orang luar

Kelantan saja, malah saya yang berasal dari Jeli, Kelantan pun juga teruja.


Jeli adalah jajahan berjiran dengan jajahan Kuala Krai dan Gua Musang. Jika kita masuk ke Kelantan melalui Gua Musang, ada satu jalan menghubungkan bandar ini dengan Jeli. Kita boleh sampai ke kawasan parlimen di bawah jagaan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, hanya dalam tempoh kira-kira satu jam.

Malangnya bah kuning yang membawa balak-balak hanyut telah meranapkan sebuah jambatan utama di Kampung Setelu yang menghubungkan dua jajahan itu.

Kini, yang ada hanya ghetok sementara yang sempit dan diragui jaminan keselamatannya.

Struktur Rukun Islam

Tidak ada masalah pun. Dengan adanya TPBKK di Kuala Krai, kenapa saya mahu berkeluh-kesah tentang sebuah jambatan sempit?

Untuk balik ke kampung, saya boleh menggunakan laluan selesa Gua Musang - Kuala Krai - Machang yang jaraknya dan masanya mungkin tiga kali ganda berbanding laluan biasa.\

Sambil itu saya bolehlah menikmati keindahan tugu berpuncakkan wau bulan menghadap kiblat itu sambil meningkatkan keimanan saya kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Nampak tak indahnya falsafah pembinaan tugu untuk memperingati banjir itu?

Lagipun, dengan kos pembinaan yang semurah RM60,000 ia tentulah pelaburan yang sangat berbaloi. Kita telah pun mendapat manfaat dari segi sejarah, agama, ekonomi dan pelancongan.

Itu kita belum lagi dibincangkan tentang falsafah dan nilai estetika tugu tersebut. Pedulikan komen-komen mereka yang buta seni bahawa tugu itu kelihatan seperti batang balak (pedulilah sama ada ia ditebang secara halal, patuh syariah atau haram).

Seorang pengguna Facebook yang bijak berjaya memecahkan 'kod rahsia' TPBKK itu. Selain wau itu mengarah ke Kaabah, bentuk bucu lima pada struktur itu juga melambangkan Rukun Islam yang sempurna.

Lupakan tentang berapa banyak rumah kos rendah yang boleh dibina dengan wang sebanyak itu. Itu semua komentar mereka yang busuk hati dan dengki dengan kerajaan Islam Kelantan yang telah terbukti bersih, cekap dan amanah.

Malah, orang-orang seni yang baru-baru ini berarak kerana perobohan Puncak Purnama di Kuala Lumpur perlu berasa gembira.

Mereka sepatutnya perlu segera menganjurkan perarakan ke Kuala Krai pula kerana meraikan naiknya tugu yang sangat bermakna ini. Patah tumbuh, hilang berganti.

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!!!


No comments: