Friday, August 19, 2016

Penangkapan Khadem Abdulla al-Qubaisi ‘Membahangkan’ 1MDB, Perdana Menteri?


"Khadem, bekas Pengarah Urusan IPIC dinamakan pihak berkuasa Amerika Syarikat bersama-sama anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, dan Low Taek Jho, dituduh terlibat dalam komplot melarikan wang 1MDB."

Laporan media asing menyebut bahawa hartawan Khadem Abdulla al-Qubaisi (Khadem), individu penting dalam siasatan 1Malaysia Development Bank (1MDB), sudah ditangkap oleh pihak berkuasa Abu Dhabi.

Orang kanan Khadem, Mohamed al-Husseiny sudahpun ditahan oleh pihak berkuasa Abu Dhabi pada bulan Mac, dan akan dihantar ke Amerika Syarikat untuk membantu penyiasatan AS ke atas 1MDB.

Memetik sumber-sumber, akhbar Wall Street Journal (WSJ) melaporkan tangkapan Khadem itu dibuat berhubung dengan peranan beliau dalam urusan 1MDB.

Khadem dikatakan ditangkap minggu lalu.

Sebelum ini, Financial Times melaporkan, Khadem dituduh melakukan penipuan, pengubahan wang haram dan rasuah. Akhbar itu mendakwa, ia berdasarkan surat yang diperolehi mereka.

Selain itu, dilaporkan penyiasat Switzerland juga sedang mencari orang bawahan Khadem dan dua bekas pegawai 1MDB.

Siasatan Swiss itu diperhebatkan hanya beberapa minggu selepas Jabatan Kadilan (DOJ) Amerika memfailkan tindakan undang-undang bagi merampas aset yang diseleweng dari 1MDB berjumlah hampir AS$1 bilion.

Bulan lalu, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, memfailkan saman sivil untuk membekukan AS$100 juta hartanah yang didakwa Khadem membelinya dengan dana daripada 1MDB.

Khadem (kiri)  dan Mohamed...kini ditahan
Pada 20 Julai, DOJ Amerika Syarikat mengumumkan saman menyita aset 1MDB bernilai AS$1 bilion, susulan siasatan melibatkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang mendapati kecurian dan salah laku dana syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Khadem adalah salah individu yang dinamakan dalam tindakan undang-undang itu, yang memaparkan laporan terperinci bagaimana dana 1MDB dipesongkan.

Khadem, bekas pengarah urusan International Petroleum Investment Company (IPIC), dinamakan pihak berkuasa Amerika Syarikat bersama-sama anak tiri perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, dan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho, dan dituduh terlibat dalam komplot melarikan wang 1MDB.

Sejak April lalu, hartawan itu dilaporkan dihalang  daripada meninggalkan UAE dan asetnya di negara itu dibekukan. Penyiasat Amerika Syarikat sedang meneliti urusan hartawan itu dan dana yang didakwa diperolehi melalui penipuan.

Berita tangkapan Khadem masih laporan awal dan belum dapat disahkan.

Mungkin benar dan penyebaran berita itu hanya usaha memburukkan nama Malaysia, khususnya Perdana Menteri.

Media pro-kerajaan, tentera siber dan orang persaorangan yang diupah oleh parti pemerintah boleh membuat penafian dan menolak laporan ini dengan segera.

Sewajarnya mereka melakukannya!

Apapun,  nama Khadem yang dikaitkan dengan 1 MDB bukan asing lagi di Malaysia dan seluruh dunia.


Ramai daripada kita mungkin tidak kisah dengan siapa dan apa dilakukan Khadem, apa lagi bagi yang menganggap isu penipuan dalam 1MDB ini suatu konspirasi dan berniat jahat untuk menjatuhkan pemimpin utama negara.

Biarpun demikian, adalah baik untuk mengenali beliau lebih dekat dan apa peranannya menyebabkan beliau mebnjadi individu penting yang diburu oleh DOJ.

Isu 1MDB bercelaru selepas International Petroleum Investment Co (IPIC) dan Aabar Investment PJS menafikan kaitan mereka dengan firma Aabar yang menerima pembayaran dari 1MDB pertengahan April lalu.

Aabar BVI (British Virgin Islands), dikatakan menerima sekitar RM13.6 bilion atau AS$3.5 bilion daripada 1MDB.

1MDB berkata, pihaknya memindahkan dana itu kepada Aabar BVI selepas dimaklumkan oleh Pengarah Urusan IPIC, Khadem al Qubaisi dan Pengerusi Aabar, Mohamed Al Husseiny bahawa firma BVI adalah anak syarikat IPIC.

Khadem warganegara Emiryah Arab Bersatu (UAE) adalah pengarah urusan IPIC antara 2007 dan 2015. Beliau juga pengerusi Aabar bagi tempoh 2012 dan 2013, juga pengarah Aabar-BVI."

Khadem, 45,  menyertai Lembaga Pelaburan Abu Dhabi pada tahun 1993, tahun yang sama beliau memperolehi ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi, dan dipindahkan ke IPIC pada tahun 2000 untuk menjadi pengurus pelaburannya.

Menurut laman web peribadi yang sudah tidak berfungsi, dia mula bekerja di IPIC sebagai pengurus pelaburan pada tahun 2000 sebelum dilantik menjadi pengarah urusan (MD) tujuh tahun kemudian.

Seorang jutawan, Khadem dikatakan mempunyai kecenderungan terhadap hartanah Amerika Syarikat yang mahal termasuk rumah anjung paling mahal di Manhattan bernilai RM198 juta atau AS$50.9 juta, yang mana beliau tidak berjaya menjualnya.

Di bawah pengurusannya dilaporkan asas modal IPIC telah menyusut daripada RM272 bilion atau AS$70 bilion kepada kurang daripada RM58 bilion atau AS$15 bilion.

Kerjayanya di IPIC berakhir apabila beliau secara mengejut meninggalkan lembaga pengarah firma itu dan ditukarkan sebagai MD ekoran rombakan yang ditetapkan oleh Presiden UAE, Khalifa Zayed pada bulan April 2015.

Khadem kemudiannya meletakkan jawatan sebagai pengerusi hartanah Aabar dan anak syarikat IPIC yang lain seperti Cepsa dan Nova Chemicals.

Orang kanan Khadem, Mohamed yang lebih berprofil rendah, tidak kurang juga menarik perhatian berbanding bossnya.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Aabar Investment PJS pada 2010, dan memegang jawatan itu sehingga Ogos tahun lalu apabila meletakkan jawatan untuk mengetuai firma ekuiti swasta, Trustbridge.

Mohamed juga adalah pengarah Falcon Private Bank, dan merupakan ahli lembaga dari 2009 kepada 2013, dan dilantik semula pada April tahun lepas.

Menurut WSJ , Falcon, anak syarikat IPIC, sedang disiasat selepas para penyiasat mengesan pemindahan hampir RM2.7 bilion atau AS$700 juta pada tahun 2013 daripada akaun Falcon Private Bank di Singapura kepada akaun yang didakwa milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.


Beliau juga dilaporkan adalah pelabur utama dalam Red Granite, firma Hollywood yang dimiliki oleh anak tiri Najib, Riza Aziz. WSJ mendakwa lebih RM600 juta atau AS$155 million daripada dana-dana ini membiayai filem Hollywood terbitan Red Granite, The Wolf of Wall Street .

Kini, kedua-dua mereka - Khadem dan Mohamed – berdepan dakwaan Amerika Syarikat yang menubuhkan Aabar BVI pada bulan Mac 2012, dua bulan sebelum firma itu menerima RM2.2 bilion atau AS$576.94 juta daripada 1MDB sebagai deposit sekuriti.

Dari segi jumlah, firma itu dikatakan menerima sekurang-kurangnya RM23.6 bilion atau AS$3.5 billion.

Aabar BVI telah dibubarkan pada bulan Jun tahun lalu, pada ketika desakan ke atas Najib dan 1MDB dilihat semakin memuncak.

Kesmua ini mungkin berupa tuduhan dan spekulasi semata-mata dan rangkaian media kerajaan sewajarnya melakukan sesuatu untuk meranapkan persepsi buruk terhadap 1MDB dan kerajaan, khususnya Perdana Menteri.

Namun, persoalan tetap ada.

Apakah tangkapan Khadem ini akan lebih mebahangkan 1MDB dan Najib serta anak tirinya Riza serta  Jho Low yang diketahui rapat dengan Perdana Menteri?

No comments: