Friday, August 26, 2016

Kenapa 1MDB Tidak Nafikan RM40 Juta Ke Pemilik Kelab Malam?


Tidak dapat dipastikan apakah 'Jejak Dana' Sarawak Report semalam sebagai sesuatu yang benar atau tuduhan semata-mata.

Apakah pendedahan oleh laman itu akan ‘menjerut leher’ pemilik kelab berkenaan yang kini sudahpun ditahan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE)?

Juga apakah ia akan mengusutkan lagi masalah yang terpaksa diharungi oleh 1MDB yang kini dibebankan dengan pelbagai tuduhan penyelewengan dan kecurian daripada dana milik mereka?

‘Jejak Dana’ itu menyanggah penafian rangkaian kelab malam milik Hakkasan Ltd (Hakkasan) bahawa mereka ada menerima wang yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Apapun, akibat siasatan yang berlanjutan lebih setahun terhadap pemilik kelab malam berkenaan, syarikat itu kini dikatakan terumbang-ambing.

1MDB pula membisu seribu bahasa mengenai isu ini.

1MDB seolah-olah  membiarkan sahaja pendedahan demi pendedahan serta mengharapkan pemilik dan syarikat Hakkasan  menjawab bagi pihak mereka.

Tidakkah ini akan mendatangkan persepsi buruk, sedangkan 1MDB perlu dibersihkan daripada sebarang tuduhan liar atau fitnah yang boleh mengaibkan pengurusannya?

Jika pendedahan oleh Sarawak Report semalam ternyata bertentangan dengan kenyataan pihak syarikat pada 19 Ogos lalu, bahawa ia  menafikan menerima dana daripada 1MDB, mahu tunggu apa lagi?

Nafi dan  ambil tindakan sewajarnya segera!


Naib Presiden Hal Ehwal Undang-undang Hakkasan Brandon Roos dalam surat kepada The Wall Street Journal (WSJ) minggu lalu,  berkata syarikat itu telah menjalankan kajian semula dalaman dan yakin tiada pembiayaannya dapat dikaitkan dengan 1MDB.

Dalam surat berasingan untuk WSJ, seorang peguam untuk Hakkasan berkata ketiadaan nama firma berkenaan dalam saman sivil DOJ itu adalah bukti jelas pihak berkuasa Amerika Syarikat  tidak dapat membuktikan ia menerima atau penyalur bagi penggubahan wang haram diperoleh Khadem al-Qubaisi dan sekutunya.

Hakkasan memiliki rangkaian restoran di seluruh dunia, selain banyak kelab malam utama di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Malah,  dalam surat itu ditegaskan bahawa mereka tetap "yakin sepenuhnya bahawa Hakkasan menerima modal daripada dana yang sah di Asia Barat" yang tidak berkaitan dengan entiti yang terlibat dalam urusan 1MDB.

Roos juga berkata, DOJ Amerika Syarikat mengesahkan Hakkasan "bukan subjek atau sasaran penyiasatan mereka terhadap 1MDB."


Sarawak  Report sebaliknya semalam mendedahkan  penyata bank Vasco Investment Services SA yang memiliki akaun di Bank Edmond De Rothschild di Luxembourg sebagai sumber dakwaannya.

Dokumen itu menunjukkan Vasco Investment Services SA - pada 2 Oktober 2012  memindahkan AS$10 juta (RM40 juta) kepada syarikat Tasameem Real Estate LLC dimiliki Hakkasan.

Vasco Investment Services SA adalah syarikat milik hartawan Emiriah Arab Bersatu (UAE),  Khadem al-Qubaisi dan dia dinamakan dalam dokumen mahkamah difail DOJ Amerika Syarikat sebagai penerima dana diselewengkan daripada 1MDB pada fasa Aabar BVI (Genting/Tanjong).

Di bawah fasa itu sejumlah AS$1.367 bilion daripada AS$3.5 bilion bon 1MDB dilencongkan ke Aabar Investments PJS Ltd (BVI).

Selepas itu, AS$1.1 bilion dipindahkan ke Blackstone Asia Real Estate Partners yang kemudian memindahkan AS$472.75 juta kepada kepada Vasco Investments Services SA.


Minggu lalu Khadem seorang individu penting dalam siasatan 1MDB, dilaporkan ditangkap oleh pihak berkuasa UAE. Beliau sebelum ini menjadi pengerusi Hakkasan.
  
Dalam surat yang berasingan kepada WSJ, seorang peguam yang mewakili Hakkasan berkata ketidakterlibatan firma dalam saman sivil itu adalah bukti jelas bahawa DOJ tidak mendapati syarikat itu menjadi "benefisiari atau saluran bagi pengubahan wang yang diperolehi secara tidak sah oleh Qubaisi dan sekutunya."

Sumber-sumber juga memberitahu WSJ bahawa tidak ada dakwaan sebarang salah laku terhadap Hakkasan atau pekerjanya.

Mereka mengesahkan bahawa siasatan Amerika Syarikat itu hanya tertumpu kepada tindakan Khadem, yang kebanyakannya berlaku dalam bidang kuasa luar pesisir.

Siasatan kerajaan Amerika Syarikat itu bagaimanapun, berkaitan dengan pembiayaan yang diperolehil Hakkasan ketika atau selepas 2012, apabila sebahagian daripada dakwaan berlaku penipuan yang didakwa membabitkan 1MDB, yang dikatakan melibatkan Khadem.


No comments: